HARRY Kane (empat dari kanan) menjaringkan gol ketika menentang Tunisia pada perlawanan kumpulan G Piala Dunia 2018 di Volgograd, Rusia. FOTO AFP
HARRY Kane (empat dari kanan) menjaringkan gol ketika menentang Tunisia pada perlawanan kumpulan G Piala Dunia 2018 di Volgograd, Rusia. FOTO AFP
AFP

PENGENDALI England, Gareth Southgate gembira dengan persembahan anak buahnya walaupun terpaksa mengharapkan gol masa kecederaan Harry Kane untuk menewaskan Tunisa 2-1 pada perlawanan pembukaan mereka awal pagi tadi.

England kini menduduki tangga kedua Kumpulan G di belakang Belgium yang mempunyai kelebihan jaringan dan mampu mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati dengan kemenangan ke atas Panama, Ahad ini.

“Kami bangkit daripada keputusan (penalti) yang begitu keras dan mampu meneruskan kemampuan pasukan dan ia menggembirakan saya,” kata Southgate.

“Biarpun kesuntukan masa, kami mampu kekal tenang. Pasukan yang bagus menjaringkan gol lewat kerana sekiranya kamu menguasai bola seperti itu, lawan akan keletihan.”

Harry Kane menjaringkan gol lewat perlawanan bagi menjamin kemenangan England ke atas Tunisia pada perlawanan pembuka tirai Piala Dunia mereka, awal pagi tadi.

Jaringan kedua Kane menerusi tandukan itu menyelamatkan England selepas peluang mereka untuk mengutip tiga mata penuh seakan hampir musnah apabila kedudukan ketika itu terikat.

Kane menjaringkan gol pembukaan perlawanan bagi meletakkan England di depan sebelum Ferjani Sassi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35 selepas Kyle Walker didapati mengasari Fakhreddine Ben Youssef.

Ini adalah kali pertama England menjaringkan dua gol dalam perlawanan Piala Dunia sejak seri 2-2 menentang Sweden pada tahun 2006 dan jaringan berganda Kane adalah gol pertamanya di kejohanan besar. –AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 9:00 AM