SUBKHIDDIN MOHD SALLEH
SUBKHIDDIN MOHD SALLEH
Zulfaizan Mansor


DUA Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilantik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk bertugas pada Piala Dunia Russia 2018 yang bakal berlangsung dari 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika mengesahkan perkara itu berkata, Subkhiddin Mohd Salleh dan Christopher Raj masing-masing akan bertugas sebagai Instruktur Teknikal Pengadil dan pegawai media venue perlawanan.

Beliau berkata, Subkhiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM sudah memulakan tugas sejak 31 Mei lalu dan tugsannya akan tamat pada 17 Julai.

“Skop tugasannya adalah merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.

“Christopher yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM pula akan mula bertugas hari ini hingga 10 Julai depan sebagai pegawai media untuk venue perlawanan di Stadium Spartak, Moscow.

“Beliau berperanan memastikan operasi media di venue berkenaan berjalan lancar termasuk urusan pengendalian sidang media, fasiliti dan lain-lain keperluan media.

“FAM bangga dengan pelantikan Subkhiddin dan Christopher dan berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan FAM,” kata Hamidin dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 3:03 PM