CHRISTOPHER (kiri) dan Subkhiddin akan bertugas di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO ARKIB NSTP
CHRISTOPHER (kiri) dan Subkhiddin akan bertugas di Piala Dunia Qatar 2022. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapa kata Malaysia 'tidak layak' ke Piala Dunia Qatar 2022 apabila dua anak tempatan bakal berkhidmat di pentas tertinggi bola sepak dunia itu bermula 20 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj dan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh terus mengharumkan nama Malaysia untuk bertugas di Piala Dunia.

Ia adalah tugasan kedua buat mereka bersama selepas turut terbabit pada Piala Dunia Rusia 2018.

Kejohanan berprestij itu akan membabitkan lapan venue antaranya Stadium Lusail, Stadium Al Janoub, Stadium Al Thumama, Stadium Al Bayt, Stadium 974 dan Stadium Ahmad Bin Ali.

Tugasan sulung Christopher selaku pegawai media akan bermula dengan aksi membabitkan perlawanan pembukaan kumpulan G di antara Switzerland dan Cameroon di Stadium Al Janoub.

Christopher turut akan bertugas bagi sembilan lagi perlawanan di negara Timur Tengah itu.

Sebelum ini, Christopher pernah terpilih untuk bertugas selaku pegawai media untuk Piala Dunia Rusia 2018 selain Piala Dunia B-17 India (2017) dan Piala Asia di Australia 2015, Piala Asia di UAE 2019, Piala Emas CONCACAF 2019, Liga Juara-Juara Asia 2021 dan 2022.

Sementara itu, Subkhiddin pula akan bertugas buat kali keempat di pentas Piala Dunia selepas ditugaskan buat kali pertama selaku pegawai keempat di Afrika Selatan pada 2010 sebelum terbabit dengan Piala Dunia Brazil 2014 dan Rusia 2018 selaku Instruktur Teknikal Pengadil.

Beliau yang juga Tenaga Pengajar Teknikal Fifa dan Persatuan Bolasepak Korea, akan bertanggungjawab di dalam merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding, serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.

Kedua-dua mereka dijadual berlepas ke Qatar pada 10 November dan akan pulang ke tanah air selepas tamat Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 8:07 PM