SLOANE (kiri) dan Madison akan berentap  menjelang aksi separuh akhir pada Terbuka Perancis. FOTO/AFP
SLOANE (kiri) dan Madison akan berentap menjelang aksi separuh akhir pada Terbuka Perancis. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Juara Terbuka Amerika Syarikat, Sloane Stephens berkata, hubungannya dengan rakan baik Madison Keys akan tetap sama menjelang aksi separuh akhir pada Terbuka Perancis di Roland Garros, ulangan final di Flushing Meadows tahun lalu.

Pilihan ke-10 kejohanan itu mempamerkan aksi hebat untuk membenam pemain Russia, Daria Kasatkina, yang sebelum ini menewaskan pemain nombor dua dunia Caroline Wozniacki, 6-3, 6-1 di gelanggang Philippe Chatrier pada suku akhir.

Terdahulu, Madison, pilihan ke-13, mara ke separuh akhir buat kali pertama dengan menewaskan pemain Kazakhstan, Yulia Putintseva 7-6 (7/5), 6-4.

Sloane menewaskan Madison 6-3, 6-0 September lalu untuk menjulang gelaran Grand Slam sulungnya di New York.

“Bila kami berada di gelanggang, tiba masa untuk bertanding tapi sebelum itu kami akan berperangai gila-gila antara satu sama lain,” kata Sloane yang hampir tersingkir pada pusingan ketiga di tangan Camila Giorgi sebelum menang 8-6 pada set penentuan.

“Sekarang, saya mahu mencari dia kerana ingin bergosip dengannya. Saya akan cari dia di bilik latihannya.

“Ya, saya fikir semuanya akan kembali normal dan apabila kami berada di gelanggang, itulah masa untuk bertanding. Sebelum itu, kami gadis yang sama seperti biasa.”

Ia kali pertama dua pemain AS mara ke separuh akhir Roland Garros sejak 2002, apabila Serena Williams menewaskan kakaknya Venus pada final, selepas kemenangan separuh akhir ke atas Jennifer Capriati.

Sloane yang berada di ranking ke-957, enam minggu sebelum kejayaan sulung Grand Slam tahun lalu selepas berdepan pelbagai isu kecederaan, kini berada di separuh akhir dalam kejohanan utama buat kali ketiga.

“Dua pemain Amerika Syarikat di separuh akhir Terbuka Perancis, saya fikir agak menakjubkan,” ujar pemain berusia 25 tahun itu.

“Ini bermakna seorang pemain Amerika akan berada di final Terbuka Perancis, ia memang hebat. Apa-apa pun, saya tidak fikir sesiapa patut merungut.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:54 AM