AKSI Tsitsipas ketika menentang Murray. FOTO EPA
AKSI Tsitsipas ketika menentang Murray. FOTO EPA
AFP

New York: Pilihan ketiga dari Greece, Stefanos Tsitsipas menewaskan juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray dengan lima set pada aksi pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Stadium Arthur Ashe.

Tsitsipas menewaskan pemain ranking ke-112 dari Britain itu 2-6, 7-6 (9/7), 3-6, 6-3, 6-4 dalam tempoh empat jam 49 minit.

"Kemenangan yang tidak mudah,'' kata Tsitsipas. "Banyak pengorbanan saya lakukan di atas gelanggang.''

Murray, juara tiga kali Grand Slam dalam misi muncul pemain ranking paling rendah untuk menewaskan tiga pencabar kelompok teratas di Terbuka AS sejak ranking diperkenalkan pada 1973.

Juara Olimpik dua kali, Murray yang juga pemenang Terbuka AS 2012 dan 2013 serta naib juara Wimbledon 2016 tewas kali pertama dalam 15 aksi pusingan pembukaan kejohanan walaupun mendapat sokongan padu penyokong.

"Suasana seperti ini sudah lama kami nantikan sejak hampir setahun lalu,'' kata Tsitsipas yang mara ke pusingan kedua menentang pemain Perancis, Adrian Mannarino.

"Saya harap dapat kekalkan permainan saya sama seperti hari ini,'' katanya lagi.

Penonton tidak dibenarkan menyaksikan Terbuka AS tahun lalu susulan pandemik Covid-19 dan pemegang tiket tahun ini perlu menunjukkan bukti vaksinasi sebelum masuk ke stadium.

Juara bertahan wanita, Naomi Osaka mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain ranking ke-97 dari Republik Czech, Marie Bouzkova 6-4, 6-1 dalam masa 93 minit manakala juara dua kali Grand Slam, Simona Halep dan Sloane Stephens turut layak.

Sloane menewaskan rakan senegara, Madison Keys 6-3, 1-6, 7-6 (9/7) manakala Simona mengatasi cabaran pemain Itali, Camila Giorgi 6-4, 7-6 (7/3).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 10:43 AM