PEMAIN Perak Kenny Pallraj (kanan) diasak pemain Selangor Rizal Fahmi Rosid.
PEMAIN Perak Kenny Pallraj (kanan) diasak pemain Selangor Rizal Fahmi Rosid.

Shah Alam: Selangor gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tumbang 0-1 di tangan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas kecewa terlepas merebut mahkota kejuaraan liga, Selangor cuba bangkit untuk memperbaiki kedudukannya dari posisi kelima ke tangga keempat, tetapi Bos Gaurus yang turut memburu mata penuh bagi memintas T-Team, lebih bernasib baik.

Percaturan pengendali Selangor K Gunalan mempertaruhkan dua pemain yang jarang beraksi Fitri Shazwan dan Raimi Mohd Nor nyata gagal memberi impak berkesan kepada pasukan tuan rumah.

Sebaik pengadil, Nafeez Abd Wahab meniupkan wisel memulakan aksi, kedua-dua pasukan gagal menemui rentak walaupun beberapa serangan diatur sepanjang 30 minit pertama.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, pelawat terus bangkit mencari jaringan pendahuluan sebaik wisel separuh masa kedua ditiupkan menerusi asakan bertali arus ke kubu tuan rumah.

Hasilnya, pada minit ke-49, Perak mengejutkan penyokong tuan rumah dengan gol pertama yang diperoleh menerusi jaringan sendiri tonggak pertahanan Selangor Ugo Ukah apabila tertolak ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola percubaan Nasir Basharudin.

Ketika aksi menuju minit ke-82, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Ukah dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Fazrul Hazli seterusnya diarah keluar padang.

Kekurangan seorang pemain nyata menyukarkan Selangor memburu gol penyamaan yang menyaksikan Perak berjaya mempertahankan kelebihan itu untuk ceria pulang ke Ipoh dengan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:13 AM