PEMAIN Kelantan, Mohamad Khairul Asyraf Ramli (kiri) mengasak Pemain Selangor, Ilham Udin Armaiyn (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Cheras. FOTO Bernama
PEMAIN Kelantan, Mohamad Khairul Asyraf Ramli (kiri) mengasak Pemain Selangor, Ilham Udin Armaiyn (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Cheras. FOTO Bernama
Zulfaizan Mansor


KELANTAN makin parah! Itu yang boleh digambarkan terhadap prestasi semasa pasukan dari Pantai Timur itu dalam kancah Liga Super musim ini.

Empat kekalahan berturut-turut dialami juara Liga Super 2011 dan 2012 itu dan yang terbaru dibelasah Selangor 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Hanya dua kemenangan berjaya diraih skuad The Red Warriors (TRW) selepas 13 perlawanan liga dan kali terakhir ketika menundukkan Kuala lumpur 4-2 di Kota Bharu pada 5 Mei lalu.

Lebih membimbangkan, anak buah Fajer Ebrahim berada dalam kedudukan bahaya untuk tersingkir ke Liga Perdana musim depan apabila kekal di kedudukan ke 11 liga, berkongsi lapan mata dengan pasukan tercorot Negeri Sembilan.

Bagi Selangor pula, kemenangan itu pasti menjadi 'habuan' bermakna buat pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pimpinan Datuk Seri Subahan Kamal yang melangsaikan gaji dan bonus kepada semua pemain petang tadi.

Hari malang TRW bermula pada minit ke-31 selepas Rufino Segovia membuka tirai jaringan buat Selangor sebelum pemain kelahiran Sepanyol itu menambah gol kedua empat minit kemudian.

Pemain import Indonesia, Evan Dimas kemudian mengukuhkan kedudukan buat Red Giants dengan meledak gol ketiga pada minit ke-38 selepas tenang menyudahkan hantaran Amri Yahyah.

Segovia menambah derita TRW apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-82 selepas rembatan derasnya dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol, Fikri Che Soh untuk kali keempat.

Kelantan cuba bangkit dengan beberapa asakan, namun gagal memecah kebuntuan jaringan yang menyaksikan kedudukan 4-0 memihak Selangor kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 12:24 AM