PEMAIN PKNS FC, Jonathan Leonal Acosta (kiri) diasak pemain Kelantan, Mohamad Azwan Mohd Aripin (tengah) pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam. Foto Bernama
PEMAIN PKNS FC, Jonathan Leonal Acosta (kiri) diasak pemain Kelantan, Mohamad Azwan Mohd Aripin (tengah) pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam. Foto Bernama
Oleh Zulfaizan Mansor


PKNS FC merampas kembali kedudukan di persada Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menang tipis 1-0 ke atas Kelantan di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. 

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk K Rajagobal kini mengumpul 10 mata,  selepas lima perlawanan dan satu mata mendahului JDT yang akan turun menentang Terengganu FC (TFC), malam esok.

Bagi Kelantan pula, ia adalah kekalahan ketiga skuad The Red Warriors (TRW) musim ini dan berada di kedudukan ke-10, dengan mengumpul empat mata.

Kelantan terlebih dahulu menguji kubu PKNS menerusi percubaan jarak dekat penyerang import, Mohamad Ghaddar pada minit ketujuh yang berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah Mohd Shahril Saari.

PKNS juga mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan, namun rembatan Faris Ramli berjaya diselamatkan penjaga gawang TRW, Khairul Fahmi Che Mat sebelum singgah di tiang gol pada minit ke-13. 

Bagaimanapun, kekecewaan itu berjaya ditebus Faris apabila pemain sayap kelahiran Singapura itu bijak menyudahkan hantaran lintang Jonathan Acosta untuk PKNS mendahului Kelantan 1-0.

Malah, Rafael Ramazotti hampir menjarakkan kedudukan buat PKNS, namun sepakan guntingnya pada minit ke-53 berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Peluang terbaik Kelantan untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-90, namun sepakan percuma Dong Hyun Do di atas garisan kotak penalti hanya sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol PKNS, sekaligus keputusan 1-0 memihak tuan rumah kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 12:36 AM