RUFINO (dua dari kiri) meraikan gol ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan Liga Super di Stadium Cheras. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
RUFINO (dua dari kiri) meraikan gol ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan Liga Super di Stadium Cheras. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zulfaizan Mansor

SELANGOR menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Super selepas membenam pasukan tercorot, Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ia adalah kemenangan pertama Red Giants dalam Liga Super selepas menewaskan Melaka United pada 7 Februari lalu dan juga tiga mata pertama diraih Nazli Azmi Mohamad Nasir dalam liga selepas dilantik sebagai ketua jurulatih awal bulan ini.

Bagaimanapun nasib berbeza menimpa pengendali Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah yang masih belum mengecapi sebarang kemenangan selepas dipilih sebagai pengganti kepada Peter Steinebrunner pada 28 Februari lalu.

Negeri Sembilan hanya mengumpul empat mata, kekal di kedudukan terbawah liga manakala Selangor mengutip sembilan mata selepas tujuh perlawanan.

Pada aksi sebentar tadi, Selangor yang beraksi tanpa dua pemain import Indonesia, Ivan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn terlebih dulu mencemaskan kubu Negeri Sembilan menerusi percubaan Willian Pacheco yang menggegar palang pada minit kelapan.

Anak buah Azraai turut mendapat beberapa peluang untuk membuka tirai jaringan terutama menerusi rembatan deras Izuan Salahuddin pada minit ke-25 yang berjaya ditampan penjaga gol Khairul Azhan Khalid.

Penyerang berbisa, Rufino Segovia akhirnya menceriakan kem Selangor apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-34 selepas menanduk masuk bola hantaran kapten, Amri Yahyah.

Hanya 10 minit selepas bersambung babak kedua, bekas pemain Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj mengukuhkan kedudukan buat Selangor apabila rembatannya di dalam kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol, Kaharuddin Abdul Rahman buat kali kedua.

Jaringan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat skuad Hobin Jang Hobin apabila pemain gantian, N Thanabalan merapatkan kedudukan selepas menyudahkan hantaran Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-65.

Biarpun mendapat beberapa peluang menyamakan kedudukan, namun ia gagal disempurnakan jentera serangan Negeri Sembilan sekali gus menyaksikan kedudukan 2-1 memihak Selangor kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 11:28 PM