GANDINGAN pemain muda dan lama jadi taruhan Lopetegui.
GANDINGAN pemain muda dan lama jadi taruhan Lopetegui.
AFP

MADRID: Sepanyol mungkin bukan pasukan pilihan utama untuk undian Piala Dunia di Moscow namun kemasukan pemain generasi baru oleh jurulatih Julen Lopetegui kembali meletakkan pasukan itu sebagai pilihan memburu kejuaraan Julai depan.

Penyingkiran awal pada Piala Dunia 2014 dan Euro 2016 menandakan musim suram Sepanyol selepas menjulang tiga gelaran utama berturut-turut iaitu Euro 2008 dan 2012 selain satu-satunya trofi Piala Dunia dijulang La Roja di Afrika Selatan pada 2010.

Bagaimanapun sejak menggantikan Vicente del Bosque, Lopetegui berjaya menggandingkan beberapa pemain skuad Piala Dunia terdahulu dengan sejumlah pendatang baru dari skuad Bawah-21 yang menjulang gelaran Eropah pada 2013.

Gandingan mereka mempamerkan hasil menakjukan. Sepanjang 16 perlawanan kendaliannya, Lopetegui langsung tidak merasai sebarang kekalahan.

Rekod Sepanyol pada aksi kelayakan dengan sembilan kemenangan dan satu seri, selain menjaringkan 36 gol dan bolos tiga, meletakkan Itali jauh di tangga kedua Kumpulan G dan kemudiannya tersingkir daripada Piala Dunia.

Setahun selepas ditunjukkan jalan keluar dari Euro 2016 oleh Azzurri, Sepanyol membelasah Itali 3-0 di Santiago Bernabeu pada September dengan gaya permainan hantaran pendek seperti ‘tiki-taka’ yang mengelirukan lawan dan mengagumkan peminat seluruh dunia dari 2008 hingga 2012.

“Saya percaya perkara terbaik yang perlu dilakukan seorang jurulatih adalah mengoptimakan dan memanfaatkan apa yang dimiliki pemainnya,” kata Lopetegui kepada akhbar sukan Mundo Deportivo, kelmarin.

“Saya fikir kualiti terbaik pemain Sepanyol adalah kemahiran melakukan hantaran dan teknik individu. Secara logiknya itu yang perlu kami manfaatkan.”

Pemain teras yang kekal sejak era kegemilangan Sepanyol termasuklah Sergio Ramos, Gerard Pique, David Silva, Andres Iniesta dan Sergio Busquets.

Elemen yang hilang dalam kejohanan sebelum ini digantikan menerusi kehadiran David de Gea, Koke, Isco, Thiago Alcantara dan Alvaro Morata yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan Iker Casillas, Carles Puyol, Xavi dan Xabi Alonso.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 12:18 PM