RAJA Filipe bersalaman dengan pemain Sepanyol sebelum berangkat ke Russia (kiri). Manakala hotel kediaman pemain Panama digeledah sewaktu perlawanan persahabatan selepas tewas. FOTO/AFP
RAJA Filipe bersalaman dengan pemain Sepanyol sebelum berangkat ke Russia (kiri). Manakala hotel kediaman pemain Panama digeledah sewaktu perlawanan persahabatan selepas tewas. FOTO/AFP
AFP

MOSCOW: Bekas juara dunia Sepanyol dan pendatang baru Panama tiba di Russia awal pagi tadi bagi edisi ke-21 kejohanan bola sepak terulung global itu.

Kedua-dua pasukan itu serta Iran tiba di Russia seminggu sebelum sepak mula di Moscow, Khamis depan.

Sepanyol menjuarai Piala Dunia pada 2010 dan salah satu pasukan pilihan kejohanan.

Mereka mengekalkan 19 aksi tanpa kalah di bawah kendalian jurulatih Julen Lopetegui, yang mengambil alih pasukan selepas Euro 2016.

Skuad Sepanyol menerima penghormatan Raja Filipe VI sebelum penerbangan ke Russia untuk aksi pemanas badan terakhir berdepan Tunisia awal pagi Ahad ini di kem latihan mereka di Krasnodar.

Sepanyol memulakan kempen mereka dengan salah satu aksi tumpuan di peringkat kumpulan iaitu menentang Portugal pada 15 Jun ini di bandar raya tuan rumah Olimpik Musim Sejuk 2014, Sochi.

Pemenang akan tampil sebagai pendahulu Kumpulan B yang turut disertai Maghribi dan Iran.

Panama pula berjaya mengatasi Amerika Syarikat dan Honduras untuk penampilan pertama di Piala Dunia pada hari terakhir aksi kelayakan zon CONCACAF.

Mereka perlu mencetuskan lebih kejutan untuk melepasi Kumpulan G yang turut disertai Belgium, England dan Tunisia.

Persiapan skuad Amerika Tengah itu bagaimanapun berakhir duka di Olso kelmarin apabila tewas 0-1 dan hotel mereka digeledah sewaktu perlawanan.

Polis berkata, barangan bernilai 53,000 euro (RM249,000) lesap daripada bilik mereka.

Ketibaan kedua-dua pasukan mendapat liputan secara langsung oleh stesen berita Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 9:36 AM