POAD (dua dari kiri) setuju dengan hasrat KOM untuk menghantar atlet ke Eropah bagi menjalani latihan dan pertandingan sempena Sukan Asia, Indonesia. FOTO/FAIL
POAD (dua dari kiri) setuju dengan hasrat KOM untuk menghantar atlet ke Eropah bagi menjalani latihan dan pertandingan sempena Sukan Asia, Indonesia. FOTO/FAIL
Mohd Khairie Khalid


JURULATIH negara, Mohd Poad Md Kassim menegaskan dia bersetuju akan hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menghantar atlet ke Eropah bagi menjalani latihan dan pertandingan sempena Sukan Asia, Indonesia.

Mohd Poad berkata, dia juga sudah berbincang perkara itu bersama ketua jurulatih kebangsaan, Zainal Abas.

“Saya bersetuju dengan hasrat Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim untuk menghantar atlet ke Eropah, saya tidak ada masalah. Lagi pun saya sudah berbincang bersama Zainal.

“Ini kerana latihan dan pertandingan di sana dapat membantu prestasi atlet,” kata Mohd Poad yang menegaskan tidak akan menolak jika khidmatnya turut diperlukan bersama atlet di Eropah.

Bagaimanapun, Mohd Poad berharap sesi latihan selama 60 hari di Eropah itu dapat dikaji serta difikirkan semula kerana baginya ia adalah satu tempoh yang panjang.

Semalam sukan NSTP melaporkan Karim akan menghantar kuartet 4x100 meter (m) terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy serta Zaidatul Husniah Zulkifli ke Eropah.

Namun perkara itu sedikit menggusarkan Karim apabila menyatakan Mohd Poad masih belum memberikan persetujuan secara bertulis berhubung kesediaan melepaskan anak didiknya berlatih di luar negara. Hanya M Balamurugan (jurulatih), Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nixson Kennedy bersetuju mengenai perkara itu.

Di Eropah kelak, terdapat enam siri latihan dan pertandingan dalam jangka masa 60 hari dan ia dikendalikan jurulatih dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller.

Antara cadangan latihan dan pertandingan di Eropah adalah Paavo Nurmi Games - 100m dan 200m (6 Jun), Motonet GP Espoo (13 Jun), Saarijavi 100m (24 Jun), Motonet GP Joensuu (4 Julai) dan Lahti Star Comps (7 Julai).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 3:55 PM