PEMAIN Atletico Madrid, Juanfran (kanan) dan Kevin Gameiro ketika sesi latihan menjelang aksi final Liga Europa menentang Olympique Marseille di Lyon. FOTO EPA-EFE
PEMAIN Atletico Madrid, Juanfran (kanan) dan Kevin Gameiro ketika sesi latihan menjelang aksi final Liga Europa menentang Olympique Marseille di Lyon. FOTO EPA-EFE
AFP

SELEPAS kekalahan memedihkan pada final di peringkat benua sejak beberapa tahun lalu, Atletico Madrid kendalian Diego Simeone berazam untuk menepati status mereka sebagai pasukan pilihan pada perlawanan akhir Liga Europa menentang Marseille di Lyon, awal pagi Khamis ini.

Atletico tewas selepas masa tambahan kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara 2014, selepas hanya beberapa saat untuk melakar kemenangan dalam tempoh 90 minit dan kemudian kalah menerusi penentuan penalti kepada musuh setempat mereka itu pada final pertandingan sama dua tahun kemudian.

Tersingkir pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini satu kejutan besar buat pasukan yang diketuai Antoine Griezmann di jentera serangan, namun mereka sudah melupakan semua itu untuk semakin menghampiri kegemilangan dalam pertandingan kurang berprestij di Eropah.

Atletico mengintai peluang memenangi Liga Europa buat kali ketiga dalam sembilan musim, selepas kejayaan pada 2010 dan 2012, sebaik selepas ‘Cholo’ Simeone dilantik sebagai jurulatih.

“Kami tidak sabar menanti perlawanan akhir,” kata pertahanan Juanfran kepada Radio Marca ketika Atletico menyasarkan trofi pertama sejak 2014, apabila mereka memenangi La Liga.

“Dengan ‘Cholo’ banyak perkara berubah di Atletico. Setiap apa yang kami alami dalam beberapa tahun ini akan kami ingati selama-lamanya. Saya harap kami akan dapat satu lagi pingat.”

Ia mungkin pingat utama pertama dan terakhir sebagai pemain Atletico buat Griezmann, yang dibesarkan tidak jauh dari Lyon namun menghabiskan sepanjang kariernya di Sepanyol.

Penyerang berusia 27 tahun itu menyertai Atletico dari Real Sociedad selepas kejayaan mereka pada 2014 namun mungkin tidak lama lagi dia berpindah ke Barcelona.

Griezmann dan Diego Costa akan mengetuai jentera serangan Simeone ketika Atletico kembali ke Lyon, yang mana mereka tewas 0-3 kepada Dynamo Kiev pada final pertandingan yang sudah dimansuhkan Piala Pemenang Piala pada 1986.

Atletico memiliki banyak kenangan pahit pada final pertandingan Eropah begitu juga Marseille.

Kelab Perancis itu sebelum ini tampil dalam empat final, tewas tiga daripadanya kecuali kejayaan ke atas AC Milan pada final sulung Liga Juara-Juara 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 2:13 PM