WELSON menjalani latihan ringan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
WELSON menjalani latihan ringan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Jumiati Rosly

Kuala Lumpur: Selepas mencipta sejarah sebagai perenang pertama negara berjaya layak ke pusingan akhir sejak 2002 menerusi acara 400 meter gaya bebas pada Sukan Komanwel Gold Coast, Welson Sim mengalami kecederaan buku lali kiri sekembalinya daripada temasya itu dua minggu lalu.

Atlet terbaik temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) itu berkata, kecederaan itu menyebabkan dia memutuskan untuk menyertai hanya tiga acara pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-61 yang akan bermula hari ini berbanding sebelum ini apabila dia sering menyertai lima acara.

“Siapa sangka selepas saya balik dari Gold Coast saya mengalami kecederaan pada hari kedua sesi latihan.

“Pada masa itu saya melakukan ‘box jumping’ (lompatan ke kotak) dan saya tanpa sedar terjatuh dengan tumit saya macam terseliuh hingga membuatkan saya terpaksa makan ubat penahan sakit sehingga ke hari ini dengan sebelum ini saya terpaksa menggunakan tongkat,” kata perenang berumur 21 tahun itu kepada NSTP ketika sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini semalam.

Welson berkata, dia sudah menjalani pemeriksaan terperinci mengenai kecederaan itu dengan tulang kakinya berada dalam keadaan baik namun kemalangan itu menyebabkan kesukaran untuk menggunakan kekuatan kaki sepenuhnya terutama mahu melakukan terjunan ketika memulakan renangan.

“Sebenarnya seminggu selepas kecederaan itu, saya cuba membuat latihan seperti biasa namun akhirnya ia memakan diri apabila kecederaan saya semakin parah,” katanya.

Perenang berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata dia hanya akan menyertai acara 200 meter gaya bebas, 400m gaya bebas dan 1,500m gaya bebas serta menarik diri daripada menyertai acara jarak pendek - 50m dan 100m gaya bebas.

“Jurulatih (Paul Birmingham) tidak memberi tekanan sangat terhadap saya pada Terbuka Malaysia kerana kami baru sahaja memulakan latihan selepas Sukan Komanwel. Selepas ini kami menyasarkan untuk memuncak pada Sukan Asia di Indonesia (18 Ogos-2 September) pula,” katanya.

Mengenai Terbuka Malaysia edisi ke-61 yang akan bermula hari ini, keseluruhan 251 atlet daripada 17 pasukan termasuk dari negeri-negeri dan juga negara luar seperti Hong Kong, India, Indonesia, Lithuania dan Filipina akan turut serta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 10:27 AM