Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Skuad renang kebangsaan tidak dapat menyenaraikan beberapa nama besar termasuk pemenang emas Sukan SEA dan pemegang rekod kebangsaan, Phee Jinq En (gambar) di temasya Sukan Komanwel, Gold Coast tahun depan.

Atlet renang yang berpangkalan di Amerika Syarikat seperti Jinq En (Universiti Purdue), Christina Loh (Universiti Florida) dan Lim Ching Hwang (Universiti Ohio) tidak dapat menyertai Sukan Komanwel apabila mereka mewakili institusi pengajian tinggi masing-masing dalam satu lagi temasya di negara berkenaan.

Jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham mengesahkan bahawa beliau tidak akan menyenaraikan ketiga-tiga perenang berkenaan di Australia nanti.

“Semua perenang yang berpangkalan di AS akan mewakili kolej masing-masing ketika itu dan sukar bagi mereka untuk kembali,” kata Paul.

“Kami akan menghantar empat atau lima perenang ke Sukan Komanwel dan pemilihan akan dijalankan berdasarkan prestasi semasa, mata FINA yang dikumpul selain turut mengambil kita peluang mereka untuk layak ke separuh akhir.”

Bagaimanapun, Birmingham mengaku adalah sukar untuk memenuhi tahap kelayakan yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“MOM menjadikan masa yang dicatat perenang di tempat kelima atau keenam di Glasgow 2014 sebagai penanda aras.

“Adalah sukar untuk perenang sedia ada menyamai masa berkenaan kerana tahap Komanwel adalah sangat tinggi.

“Ia turut sukar buat atlet seperti Welson (Sim) tetapi kami akan terus melatihnya dalam acara 200m dan 400m gaya bebas.”

Welson memenangi dua emas, satu perak dan satu gangsa selain turut memecahkan dua rekod di Sukan SEA lalu. Dia diangkat selaku Atlet Lelaki Terbaik temasya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 9:19 AM