WELSON Sim
WELSON Sim
Jumiati Rosly


Kuala Lumpur: Biarpun masih dihantui kecederaan buku lali kiri, Welson Sim membuktikan kehebatan dirinya apabila mengungguli acara 400 meter gaya bebas lelaki dalam edisi ke-61 Kejohanan Renang Terbuka Malaysia yang mebuka tirainya di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, semalam.

Perenang yang mewakili Sarawak itu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan catatan masa 3 minit 57.89 saat yang dilakukannya untuk membawa pulang pingat emas, yang mana jauh berbeza dengan rekod kebangsaan acara 400m gaya bebas yang dilakukannya - 3:49.48s yang dibuat pada tahun lalu. Pingat perak dimenangi perenang Selangor, Yeap Zheng Yang (4:00.30s) dan gangsa dimenangi perenang India, P Sajan (4:06.20s).

“Masa yang dibuat tadi tidak berapa bagus tetapi saya anggap saingan hari ini sebagai pemanas badan untuk saya bagi pertandingan seterusnya.

“Saya tak fikirkan sangat kesakitan kaki saya tadi. Keseluruhannya, kaki saya semakin baik berbanding minggu lepas,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di sini semalam.

Kelmarin, NSTP melaporkan Welson mengalami kecederaan buku lali kiri sekembalinya daripada Sukan Komanwel di Gold Coast dua minggu lalu apabila jatuh ketika melakukan ‘lompatan kotak’ dalam sesi latihan.

Sementara itu, Wong Fu Kang dari Johor Baharu berkata dia gembira apabila dapat mencatatkan 1:03.61s dalam acara 100m kuak dada lelaki yang mana masa itu adalah catatan terbaik baginya tahun ini. Perak dimenangi perenang Selangor, Ng Jing Fu dengan 1:04.23s dan gangsa dimenangi Foong Wei Tze dari Selangor (1:04.96s).

“Saya mengharapkan masa yang lebih bagus tetapi saya tetap gembira dengan keputusan hari ini (semalam). Saya harap dapat melayakkan diri untuk ke Sukan Asia nanti buat kali pertama,” kata penuntut Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Taylor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 11:00 AM