REAKSI Chong Wei dalam perlawanan menentang Momota di separuh akhir di Wuhan, hari ini. FOTO AFP
REAKSI Chong Wei dalam perlawanan menentang Momota di separuh akhir di Wuhan, hari ini. FOTO AFP
Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei gagal dalam misinya untuk merekodkan gelaran ketiga Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas terkandas di peringkat separuh akhir, hari ini. 

Bekas pemain nombor satu dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan bintang muda Jepun, Kento Momota 19-21, 14-21 dalam aksi yang berlangsung selama 55 minit di Wuhan, China. 

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ketika diminta mengulas mengenai kekalahan itu, berkata sejak dari awal lagi pihaknya sedar ia akan menjadi perlawanan sukar buat Chong Wei berdepan Momota. 

“Bermain menentang Momota sememangnya bukan tugas mudah kerana dia sudah menewaskan pemain utama lain seperti Shi Yuqi (China) dan Chou Tien Chen (Taiwan).

“Sebelum Momota dikenakan penggantungan, dia pernah memegang status sebagai pemain nombor dua dunia.

“Pemain seperti Momota dan Viktor Axelsen (Denmark) adalah generasi baharu yang akan menguasai acara perseorangan lelaki dunia,” kata Norza. 

Sebagai rekod, Chong Wei sebelum ini sudah dua kali bergelar juara kejohanan apabila mendominasi saingan pada edisi 2006 dan 2016 manakala ini adalah kali pertama Momota berjaya melangkah ke final BAC.

Ia adalah kekalahan pertama Chong Wei, 36, di tangan Momota yang kembali beraksi secara kompetitif tahun lalu selepas tamat tempoh penggantungannya yang dikenakan Persatuan Badminton Jepun kerana terbabit dengan kegiatan judi.

Pertemuan pertama dan terakhir kedua-dua pemain berkenaan adalah pada saingan Seluruh England 2014 yang menyaksikan Chong Wei menang mudah 21-14, 21-18.

Momota yang berusia 23 tahun akan bertemu juara Olimpik 2016, Chen Long dari China pada aksi final, esok.

Terdahulu, Chen Long yang juga juara dunia 2015 mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan pemain India, H S Prannoy 21-16, 21-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Keputusan

Separuh akhir

Perseorangan lelaki

Kento Momota (JPN) mn Lee Chong Wei (MAS) 21-19, 21-14

Chen Long (CHN) mn H S Prannoy (IND) 21-16, 21-18

Perseorangan wanita

Tai Tzu Ying (TPE) mn Saina Nehwal (IND) 27-25, 21-19

Chen Yufei (CHN) mn Sung Ji Hyun (KOR) 21-12, 21-13

Beregu lelaki

Takeshi Kamura-Keigo Sonoda (JPN) mn Liu Cheng-Zhang Nan (CHN) 14-21, 21-12, 25-23

Li Junhui-Liu Yuchen (CHN) mn Huang Kaixiang-Wang Yilyu (CHN) 21-17, 14-21, 21-10

Beregu wanita

Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (JPN) mn Della Destiara Haris-Rizki Amelia Pradipta (INA) 27-29, 21-17, 21-11

Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi (JPN) mn Kim So Yeong-Hee Yong Kong (KOR) 21-17, 20-22, 21-14

Beregu campuran

Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir (INA) mn Zheng Siwei-Huang Yaqiong (CHN) 21-11, 21-13

Wang Yilyu-Huang Dongping (CHN) mn Zhang Nan-Li Yinhui (CHN) 18-21, 21-18, 21-17

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 8:30 PM