VIVIAN HOO
VIVIAN HOO
Ferzalfie Fauzi

PEMAIN beregu wanita negara, Vivian Hoo menegaskan gandingannya bersama Chow Mei Kuan masih banyak lagi perlu diperbaiki selepas tewas kepada gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Rim pada final Cabaran Antarabangsa Vietnam, hari ini.

Vivian yang pertama kali bergandingan dengan Mei Kuan di peringkat antarabangsa tewas 19-21, 21-17, 17-21.

“Saya tidak kata kami harus berpuas hati dengan keputusan ini, namun sekurang-kurangnya kami tahu di mana kekurangan yang perlu diperbaiki menjelang saingan Sukan Komanwel bulan depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kekalahan di Hanoi harus dijadikan iktibar dan berharap mereka mampu bangkit semula pada temasya kedua terbesar dunia itu walaupun akan tampil selaku gandingan bidan terjun selepas masing-masing kehilangan pasangan tetap, Woon Khe Wei dan Lee Meng Yean yang cedera.

“Tidak ada lagi sebarang kejohanan selepas ini dan fokus hanya kepada persediaan ke Sukan Komanwel serta memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya sejurus tumpas kepada pilihan kedua kejohanan itu.

Ditanya mengenai aksi final yang berlangsung Stadium Distict Tay Ho itu, Vivian mengakui pasangan lawan bermain dengan sangat baik terutama pukulan balas.

“Mereka sentiasa membalas dengan baik setiap pukulan yang kami lakukan. Perlawanan hari ini juga berlangsung sengit namun pada set penentuan mereka bermain dengan lebih baik,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, gandingan muda lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula terus kempunan gelaran antarabangsa selepas mereka tumpas dalam perlawanan akhir kepada wakil Thailand, Maneepong Jongjit-Nanthakarn Yordphaisong 18-21, 14-21.

Ini adalah kali kedua berturut-turut mereka tumpas kepada lawan yang sama, apabila tahun lalu mereka kalah pada perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa India.

Nasib sama juga menimpa pemain profesional, Goh Giap Chin apabila tumpas kepada perseorangan lelaki Jepun, Kento Momota 9-21, 15-21.

Keputusan Cabaran Antarabangsa Vietnam

FINAL

Perseorangan lelaki: Kento Momota (JPN) mn Goh Giap Chin (MAS) 21-9, 21-15

Beregu lelaki: Maneepong Jongjit-Nanthakarn Yordphaisong (THA) mn Aaron Chia-Soh Wooi Yik (MAS) 21-18, 21-14

Perseorangan wanita: Dinar Dyah Ayustine (INA) mn Asuka Takahashi (JPN) 13-21, 21-16, 21-14        

Beregu wanita: Baek Ha Na-Lee Yu Rim (KOR) mn Chow Mei Kuan-Vivian Hoo (MAS) 21-19, 17-21, 21-17

Beregu campuran: Do Tuan Duc-Pham Nhu Thao (VIE) mn Evgenij Dremin-Evgenia Dimova (RUS) 20-22, 24-22, 21-15  

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:30 PM