PEMAIN Real meraikan kemenangan mereka ketika menewaskan Bayern dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara. -Foto EPA
PEMAIN Real meraikan kemenangan mereka ketika menewaskan Bayern dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara. -Foto EPA
AFP

MUNICH: Zinedine Zidane berkata Real Madrid perlu mengambil iktibar daripada pertemuan dengan Juventus jika mahu menyingkirkan Bayern Munich dalam aksi kedua separuh akhir Liga Juara-Juara, minggu depan.

Real kini selangkah untuk menjulang gelaran ketiga Eropah berturut-turut selepas Marco Asensio meledak gol kemenangan 2-1 ketika aksi pertama, awal pagi tadi di Munich.

Begitupun selepas mengharungi detik menakutkan di gelanggang sendiri pada pertemuan suku akhir kedua di mana Juventus menang 3-1 di Madrid selepas Real menewaskan mereka 3-0 di Turin, Zidane berkata kelab kendaliannya masih belum selamat meskipun memiliki kelebihan yang kecil.

“Kami perlu berjuang berhabis-habisan pada perlawanan kedua, tiada apa yang sudah ditentukan, ia ditunjukkan ketika perlawanan kedua menentang Juventus,” kata Zidane.

“Kami akan dikerah sekali lagi dan melayan dengan Bayern dengan cara yang berbeza di gelanggang sendiri kerana jika tidak, kami mungkin akan memperoleh keputusan yang buruk minggu depan.”

Tuan rumah mendahului perlawanan di Allianz Arena menerusi Joshua Kimmich tetapi Marcelo menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Asensio yang masuk selaku pemain gantian kemudian meledak gol kemenangan berpunca daripada serangan balas pantas untuk mengesahkan kemenangan keenam berturut-turut gergasi Sepanyol itu ke atas Bayern di peringkat kalah mati di Eropah.

“Kami tidak boleh gembira dengan keputusan ini, kami berdepan kesukaran pada awal permainan untuk memainkan corak permainan kami,” kata Zidane. 

“Tidak mudah untuk datang dan menang di sini, kami boleh melakukan lebih baik, tetapi kami gembira dengan keputusan.”

Sebelum perlawanan, Zidane membuat kejutan apabila menggugurkan Gareth Bale tetapi menegaskan beliau tidak memiliki masalah dengan bintang Wales itu.

“Saya mempunyai banyak pemain berkualiti di sini, dia sudah bermain dengan baik dan saya tahu saya boleh mengharapkan Gareth Bale seperti saya percayakan mereka yang juga tidak bermain,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 7:40 AM