REAKSI kecewa Luka Modric (kiri), Nacho (tengah) dan Toni Kroos selepas Chelsea menjaringkan gol kedua. FOTO EPA
REAKSI kecewa Luka Modric (kiri), Nacho (tengah) dan Toni Kroos selepas Chelsea menjaringkan gol kedua. FOTO EPA
AFP

Madrid: Real Madrid bukan sahaja tewas berikutan aksi hambar, namun kekalahan kepada Chelsea hari ini jelas menunjukkan berakhir sudah era kegemilangan kelab gergasi itu yang tidak mampu lagi bersaing di pentas Eropah.

Selepas melakar kejayaan bersejarah yang menyaksikan skuad bimbingan Zinedine Zidane meraih trofi Liga Juara-Juara tiga musim berturut-turut dan keempat dalam tempoh lapan tahan, Real Madrid kini tidak lagi sehebat dahulu.

Ini adalah tahun ketiga mereka gagal melangkah ke pentas final dan kali kedua berturut-turut bertemu lawan dari England dan kemudian tewas.

"Chelsea adalah pasukan lebih baik. Kami tidak boleh memberi alasan lagi," kata pemain tengah Casemiro.

Real diketepikan Manchester City pada pusingan kedua musim lalu dan meskipun kekalahan kepada Chelsea menerusi agregat 1-3 dilihat lebih meyakinkan, mereka sebenarnya bernasib baik tidak menerima kekalahan jauh lebih besar.

Aksi separuh akhir kedua ini boleh digambarkan seperti ketika Barcelona tewas memalukan di tangan Bayern Munich jika Chelsea tidak mensia-siakan deretan peluang terbaik untuk meledak lebih banyak gol.

Barcelona berdepan krisis besar selepas dibelasah 2-8 oleh Bayern di Lisbon musim lalu.

Real yang memenangi La Liga musim lalu bagaimanapun masih berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan itu terutama sekali jika dapat menewaskan Sevilla, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 8:19 AM