BEKAS ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Mazlan Ahmad mendesak supaya MSN mengambil alih Program Podium. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
BEKAS ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Mazlan Ahmad mendesak supaya MSN mengambil alih Program Podium. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: ‘Arkitek’ di sebalik kejayaan bersejarah kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 (KL ‘98), Datuk Mazlan Ahmad mendesak supaya Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil alih Program Podium yang dikendalikan Institut Sukan Negara (ISN).

Mazlan yang juga bekas Ketua Pengarah MSN menyifatkan tindakan drastik itu perlu dilakukan segera susulan kegagalan atlet Program Podium menyinar di Sukan Komanwel Gold Coast yang dilabuhkan tirainya, Ahad lalu. 

Kontinjen negara di Gold Coast sekadar mengutip 7 emas - hanya menambah satu emas dari yang dibawa pulang dari Glasgow 2014 - walaupun persiapan kali ini lebih mantap menerusi Program Podium sejak dua tahun lalu.

Malah, pencapaian itu menyaksikan kontinjen negara gagal menepati sasaran yang ditetapkan Pengarah Program Podium, Tim Newenham dari Australia untuk berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan apabila menamatkan kempen di tempat ke-12 - sama seperti di Glasgow 2014.

“Walaupun pungutan emas di Gold Coast mengatasi kutipan di Glasgow 2014, tetapi hakikat yang harus diakui, kita sebenarnya gagal.

“Jadi, saya cadangkan supaya pengurusan Program Podium ditukar. Kalau boleh tukar hari ini, hari ini juga tukar. Ini kerana MSN lebih berpengalaman dalam urusan membabitkan atlet berprestasi tinggi berbanding ISN.  

“ISN tidak mempunyai kepakaran atau langsung tidak ada pengalaman dalam menguruskan atlet sebelum ini sehinggalah Program Podium dipertanggungjawabkan kepada mereka,” kata Mazlan ketika dihubungi hari ini.  

Mazlan berkata, satu kerugian besar membabitkan tenaga dan kewangan apabila dua badan induk sukan iaitu ISN dan MSN ditugaskan untuk memantau sukan berprestasi tinggi dalam satu masa.  

“Beri tugas menguruskan atlet kepada mereka yang berpengalaman. Tidak perlu tunggu sehingga habis Sukan Asia Ogos depan atau Sukan Olimpik 2020.  

“ISN perlu kembali kepada tugas hakiki mereka. Beri perhatian kepada sains sukan dan buatlah penyelidikan dan pembangunan (R&D) sukan di negara ini. Itulah tugas asasi ISN. Urusan membabitkan atlet berprestasi tinggi serah pada MSN,” katanya.  

Pada perkembangan sama, Mazlan turut menyarankan agar angkat berat disenaraikan kembali ke dalam program sukan teras kerana sukan itu adalah kekuatan kontinjen negara di temasya kedua terbesar dunia itu dan perkembangannya perlu dipantau dari masa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:56 PM