Saiful Affendy Sapran


INSTITUT Sukan Negara (ISN) tetap akan terus diberi kepercayaan mengendalikan Program Podium meskipun atlet di bawah program itu mendapat kritikan kerana dilihat gagal menyerlah di Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, tiada keperluan untuk program itu dikaji semula atau diberi kuasa kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengendalikannya.

"Program ini mesti diteruskan dan tidak timbul soal perlu dikaji semula kerana ia belum dilaksanakan sepenuhnya.

"Sebab kita masih ada lagi program untuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik 2020. Malah semua atlet juga bersetuju bahawa program ini perlu dikekalkan.

"Kalau ada perubahan kecil untuk memperkemaskan program itu, tak ada masalah," katanya ditemui selepas ditemubual dalam program bicara #JomUndi di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad, Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Khairy, sekiranya tiada Program Podium, beliau percaya prestasi atlet negara akan lebih jauh ketinggalan berbanding atlet dari negara lain.

"Jadi saya yakin program ini masih lagi diperlukan. Saya sendiri sudah berjumpa dengan (wakil) ISN dan MSN hari ini dan mereka juga bersetuju agar program ini dikekalkan di bawah ISN," katanya.

Khairy berpuashati pencapaian negara di Gold Coast. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Khairy berpuashati pencapaian negara di Gold Coast. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Mengulas pencapaian keseluruhan atlet negara di Gold Coast, Khairy tetap berpuas hati meskipun ada sasaran yang gagal dicapai - untuk berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan.

"Walaupun kita menamatkan saingan di tangga ke-12, banyak sebenarnya pingat perak yang kalau ada sedikit saja keputusan memihak kepada kita, boleh bertukar menjadi pingat emas.

"Bukan hendak beri alasan, tetapi bagi saya ini ada kaitan dengan soal nasib juga. Kadang-kadang nasib tidak menyebelahi kita," katanya.

Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad menerusi laporan di Sukan NSTP hari ini mencadangkan supaya MSN mengambil alih Program Podium yang ketika ini dikendalikan oleh ISN.

Cadangan 'arkitek' di sebalik kejayaan bersejarah kontinjen negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 (KL'98) itu hadir selepas atlet Program Podium dilihat gagal menyerlah pada Sukan Komanwel di Gold Coast yang berakhir Ahad lalu.

Kontinjen negara sekadar mengutip tujuh emas - hanya menambah satu emas dibawa pulang berbanding Glasgow 2014, walaupun persiapan kali ini lebih mantap menerusi Program Podium sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 5:26 PM