PEMAIN Tottenham meraikan kejayaan menewaskan Stoke City pada aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin. - Foto REUTERS
PEMAIN Tottenham meraikan kejayaan menewaskan Stoke City pada aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin. - Foto REUTERS

MUNGKIN sudah terlalu lewat untuk menghalang Manchester City menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi Tottenham Hotspur boleh menangguhkan keraian itu dengan ‘menghadiahkan’ mereka kekalahan keempat berturut-turut.

City mengharungi minggu terburuk sejak dikendalikan Pep Guardiola apabila dipalit tiga kekalahan berturut-turut - kali pertama diharungi pengurus kelahiran Sepanyol itu.

Selain disingkirkan Liverpool dalam suku akhir kancah Liga Juara-Juara dengan dua kekalahan sekali gus tewas 1-5 secara agregat, City turut melepaskan peluang mendahului dengan dua gol ketika bertemu seteru tetangga, Manchester United sebelum tewas 2-3.

Kekalahan kepada United menyaksikan peluang City untuk dinobat juara tertangguh tetapi pendahulu liga itu masih memiliki kelebihan 13 mata di puncak liga ketika berbaki enam perlawanan.

Dan mereka boleh dinobatkan juara, Ahad ini di Wembley jika meraih kemenangan ke atas Spurs ditambah kekalahan United di laman sendiri kepada West Brom.

City menewaskan Spurs 4-1 ketika kedua-duanya bertemu di awal musim ini tetapi selepas melepaskan lapan gol dalam tiga perlawanan, kelemahan skuad kendalian Guardiola mula terdedah.

Tidak boleh dilupakan, Spurs memberikan Guardiola kekalahan pertama di kancah bola sepak Inggeris pada musim lalu dengan kemenangan 2-0 di White Hart Lane dengan kemenangan boleh mengukuhkan tempat mereka di kedudukan empat terbaik.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu ketika ini memiliki kelebihan 10 mata di depan skuad tangga kelima, Chelsea tetapi menegaskan impian mereka adalah untuk mengatasi City dengan menjuarai liga, musim depan.

“Kami dalam perlumbaan bagi kedudukan empat terbaik dan bagi Tottenham ia adalah pencapaian yang menakjubkan untuk menamatkan saingan di kelompok empat terbaik untuk tiga musim berturut-turut,” kata Pochettino.

“Ia amat penting, namun keinginan kami juga untuk menjulang kejuaraan sama ada Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara,” kata pengurus dari Argentina itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 3:40 PM