PEP Guardiola.
PEP Guardiola.

PEP Guardiola mencabar Manchester City membuktikan mereka masih kuasa utama Liga Perdana Inggeris ketika juara bertahan itu berdepan ujian penting menentang pencabar kejuaraan, Tottenham, awal pagi Selasa ini.

Sejak kalah kepada Lyon dalam Liga Juara-Juara pada September lalu, anak buah Guardiola tidak tumpas dalam tujuh perlawanan berturut-turut bagi semua pertandingan.

City menang enam daripada perlawanan itu, dengan hanya satu keputusan seri tanpa jaringan menentang Liverpool yang dianggap catatan memberangsangkan memandangkan mereka bergelut di Anfield, musim lalu.

Kemenangan selesa 3-0 ke atas Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara di gelanggang lawan, Selasa lalu menyebabkan Guardiola memuji persembahan itu sebagai yang terbaik buat City musim ini.

Memandangkan City baru saja membelasah Burnley 5-0, selain menikmati kemenangan 5-0 di Cardiff dan 6-1 ke atas Huddersfield musim ini, ia jelas satu penghargaan terlalu tinggi pengendali dari Sepanyol itu.

Namun, Guardiola sedar ujian lebih sukar menanti City bermula dengan Tottenham yang bertindak baik pada permulaan musim Liga Perdana.

“Sering kali sukar. Ia ketika musim pertama saya di sini. Saya tidak menjangkakan yang lebih,” kata Guardiola.

“Tiada apa yang mengubah pendirian saya mengenai pasukan sendiri. Saya mahu fokus memenangi perlawanan dan memberikan persembahan bagus, kerana menyedari kualiti pasukan Spurs.

“Tapi ia tidak berakhir di sini. Selepas ini Fulham, Southampton, Manchester United dan Shakhtar.”

Tatkala City bertindak baik, fokus kurang diberikan terhadap juara bertahan itu musim ini ketika Liverpool, Chelsea dan Arsenal lebih mencuri tumpuan.

Liverpool menyingkirkan City daripada puncak carta dengan kemenangan 4-1 ke atas Cardiff malam tadi, namun anak buah Guardiola boleh merampas semula kedudukan itu jika mereka menewaskan Tottenham di Wembley. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 5:38 PM