PENGENDALI Liverpool, Juergen Klopp secara jujurnya tidak begitu gembira di babak pertama perlawanan. - Foto AFP
PENGENDALI Liverpool, Juergen Klopp secara jujurnya tidak begitu gembira di babak pertama perlawanan. - Foto AFP

MANCHESTER, England: Liverpool membuktikan mereka berjaya meningkatkan sistem pertahanan setaraf dengan kekuatan serangan, ketika mengekang Manchester City dan menang 2-1 di pentas suku akhir kedua Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kekuatan barisan pertahanan mematahkan gerakan City membolehkan Liverpool meraih kemenangan di laman lawan dan layak ke separuh akhir dengan agregat 5-1.

Sejak pengendali dari Jerman, Juergen Klopp mengemudi kelab Anfield sepanjang dua setengah tahun lalu, mereka banyak dikritik kerana pertahanan yang lemah, sekaligus gagal mengimbangi barisan serangan yang mantap.

Ketika aksi di Stadium Etihad, skuad bimbingan Pep Guardiola meledak seawal minit kedua (oleh Gabriel Jesus) tetapi Liverpool bangkit mempamerkan karakter sebenar dan melengkapkan misi dengan dua jaringan di babak kedua (Mohamed Salah dan Firmino).

“Kami semakin matang,” kata Klopp selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Liverpool muncul pasukan pertama mengalahkan skuad Guardiola dalam tiga perlawanan musim ini.

“Pemain semakin meningkat, banyak belajar dan menggunakannya dalam perlawanan. Jika anda memperkatakan mengenai masa silam pasukan, secara puratanya kami banyak melepaskan gol mudah.

“Kami bekerja kuat mengatasi masalah itu,” kata pengendali dari Jerman ini.

Guardiola menurunkan barisan pemain berlandaskan kekuatan serangan untuk memadam kelebihan tiga gol milik Liverpool - dengan tiga penyerang di depan, dengan harapan mampu memadam defisit gol di babak pertama.

“Mereka mengambil risiko dan kami perlukan sedikit tuah serta kekalkan disiplin formasi pertahanan. Secara jujurnya, saya tidak begitu gembira di babak pertama,” kata Klopp.

“Mereka sepatutnya mampu menjaringkan dua atau tiga gol di babak pertama, tetapi cukup jelas, jika kami memenangi perebutan bola, kami akan memiliki peluang.

“Ini bukannya soal kesempurnaan, tetapi soal keputusan, karakter, mentaliti dan pertarungan mendapat keputusan. Kami bertahan dengan baik, ini bukannya aksi terbaik kami, tetapi akhirnya kami layak menerimanya (kemenangan),” kata Klopp.

Barisan pertahanan tengah dilihat semakin mantap sejak ketibaan Virgil van Dijk pada Januari lalu dan dengan kehadiran bek kiri dari Scotland, Andy Robertson - Liverpool patut berterima kasih kepada pemain tengah, James Milner yang sebelum ini banyak beraksi di posisi itu.

Milner - bekas pemain City, bukan saja beraksi di banyak posisi sejak awal musim, tetapi mempamerkan penguasaan bola, kerja keras, bahkan membuatkan bahagian tengah lebih tenang serta terkawal.

Dia yang memakai lilitan kapten selepas ketiadaan Jordan Henderson pagi tadi, sebenarnya turut mempamerkan karakter sebenar skuad bimbingan Klopp.

“Untuk mengalahkan City dalam dua perlawanan membuatkan kami semakin yakin. Kami tahu kami mampu mendapatkan bola dan kami bertahan dengan baik di babak kedua,” kata Milner. - AFP / Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:37 AM