Konsulat Amerika di Saint Petersburg, Russia. - AFP
Konsulat Amerika di Saint Petersburg, Russia. - AFP
AFP

Moscow: Russia menegaskan ia tidak berhasrat mencetuskan perang diplomatik dengan Barat berikutan tindakannya mengusir sejumlah besar diplomat Amerika Syarikat bagi membalas tindakan Amerika serta Britain dan sekutunya.

“Russia tidak memulakan sebarang perang diplomatik, Russia tidak memulakan sebarang sekatan balas.

“Russia dipaksa untuk bertindak bagi membalas tindakan tidak sah serta ‘mengancam keselamatan’ oleh Washington,” kata jurucakap Presiden Vladimir Puti, Dmitry Peskov, semalam.

Menurutnya, Moscow tetap mahukan ‘hubungan baik’ kekal dan bersedia untuk berdialog.

Russia menyatakan ia akan mengusir 60 diplomat Amerika dan menutup konsulat di Saint Petersburg sebagai membalas tindakan Amerika mengusir diplomatnya, berhubung kes racun bekas pengintip Kremlin, Sergei Skripal, di Britain.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata, Duta Amerika sudah dimaklumkan mengenai tindakan itu yang termasuk pengusiran ramai diplomat dan menarik balik kebenaran beroperasi kepada konsulat Amerika di Saint Petersburg.

Menurut Jabatan Negara AS, pihaknya tidak melihat justifikasi terhadap langkah itu yang menunjukkan Russia tidak berminat mengadakan sebarang dialog.

Jurucakapnya, Heather Nauert berkata, tidak terdapat sebarang justifikasi terhadap tindak balas Russia.

“Tindakan kami didorong serangan dilakukan terhadap United Kingdom dan rakyat Britain,” katanya.

Sebelum ini, Washington mengarahkan pengusiran 60 diplomat Russia dan menutup konsulatnya di Seattle.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 1:47 AM