EEI Hui (kiri) mahu anak buahnya cari persefahaman. -Foto fail
EEI Hui (kiri) mahu anak buahnya cari persefahaman. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


KETUA jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui mahu anak buahnya yang beraksi pada Terbuka Finland bermula esok mampu mencari persefahaman mantap walaupun mereka sekadar skuad pelapis kepada gandingan utama.

Menurutnya, gandingan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei diberikan sedikit masa untuk mencari keserasian yang menyebabkan kedua-dua pasangan dihantar beraksi di Eropah.

“Di Finland kedua-dua gandingan ini hanya perlu mencari kombinasi terbaik. Biar mereka mendapat sedikit ruang untuk melakukan perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, sejak Januari hingga Mac lalu, beliau masih belum menetapkan gandingan tetap buat empat pemain itu dan setiap kejohanan yang disertai lebih terarah kepada melihat persefahaman.

“Bagaimanapun pada pertengahan bulan lalu baru saya menetapkan Tang Jie akan bergandingan dengan Yen Wei, manakala Pang Ron pula bergabung dengan Yee See,” katanya.

Pang Ron-Yee See akan turun pada pusingan kelayakan esok apabila mereka berdepan wakil tuan rumah, Juha Honkanen-Jannica Monnberg.

Tang Jie-Yen Wei pula hanya akan turun Jumaat ini pada pusingan pertama menentang Vladimir Nikulov-Anastasiia Semenova dari Russia.

Turut turun ke gelanggang esok pada peringkat kelayakan adalah Nur Izzuddin Rumsani-Soong Fie Cho berdepan gandingan campuran Myanmar-England, Phone Pyae Naing-Fee Teng Liew, manakala Goh Sze Fei-Goh Yea Ching menentang Dmitrii Klimenko-Alena Iakovleva dari Russia.

Gandingan Shia Chun Kang-Tee Jing Yi pula akan berdepan satu lagi wakil tuan rumah, Jere Overmark-Inalotta Suutarinen, manakala perseorangan wanita Lee Zii Yii menentang Vaishnavi Kaari dari India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 8:02 PM