Tiger Woods membuat pukulan semasa pusingan pertama kejohanan WGC-Dell Technologies Match Play awal pagi. FOTO Agensi
Tiger Woods membuat pukulan semasa pusingan pertama kejohanan WGC-Dell Technologies Match Play awal pagi. FOTO Agensi
Reuters

TIGER Woods dan Rory McIlroy adalah antara pemenang dalam pusingan pertama kejohanan WGC-Dell Technologies Match Play awal pagi tadi dengan kedua-dua bekas pemain nombor satu dunia itu berpeluang memperkemaskan permainan mereka menjelang kejohanan Masters.

Woods ketinggalan kepada rakan senegara Aaron Wise selepas 10 lubang namun bangkit mencatat kemenangan apabila pemain berusia 22 tahun itu gagal menyempurnakan pukulan putt pada lubang ke-17, membolehkan juara Masters empat kali itu menang 3 dan 1.

Pemain berusia 43 tahun itu bagaimanapun tidak berpuas hati dengan prestasinya pada hari pertama daripada lima hari di Austin Country Club yang berlangsung dalam cuaca panas terik.

“Kedua-dua kami agak bergelut,” kata Woods.

“Jika ini aksi strokeplay, kami akan jauh ketinggalan. Anda hanya cuba menewaskan pemain di depan anda dan saya berjaya mara.”

Laluan McIlroy pula lebih mudah apabila juara Kejuaraan Pemain-Pemain itu meneruskan aksi bertenaganya untuk mengatasi pemain Amerika Syarikat Luke List 5 dan 4.

Pemain Ireland Utara itu yang memenangi kejohanan itu dengan format berbeza pada 2015, mencatat birdie pada dua lubang terakhir untuk menewaskan List.

“Saya agak bertuah dan berjaya membuat pukulan yang baik,” kata McIlroy.

“Luke mungkin mengakui dia tidak bermain dengan baik tetapi tidak bagi saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 9:03 AM