Haika Khazi


PELUMBA pasukan Giant Cycling Team dari China, Chen Zhiwen disingkirkan daripada perlumbaan Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) selepas didapati bersalah melakukan kekasaran ke atas pelumba lain sebaik berakhirnya saingan di Kuala Terengganu, siang tadi.

Dia didapati melakukan perbuatan itu ke atas pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh selepas berakhirnya saingan peringkat ketiga daripada Kota Bharu ke Kuala Terengganu.

Komisar LTdL 2018 dalam laporannya membuat keputusan menyingkirkan pelumba itu mengikut Artikel 30.1 kerana didapati bertindak ganas ke atas pelumba lain.

Zhiwen juga dikenakan hukuman mengikut Artikel 37bis atas kesalahan melakukan perbuatan yang merosakkan imej sukan berbasikal. Bagi kesalahan ini dia dijatuhi hukuman didenda.

Mohd Hariff juga didapati bersalah mengikut artikel sama dan turut didenda.

Dalam pada itu, kejadian berdekatan sebuah pasar di Kuala Terengganu itu berjaya dirakamkan oleh orang ramai, sebelum video berdurasi selama 39 saat itu viral menerusi media sosial sejak beberapa jam lalu.

Paparan video berkenaan yang berlatar belakangkan kawasan Pasar Payang itu menunjukkan pelumba pasukan Giant berkenaan tiba-tiba saja menyerang Mohd Hariff dengan menggunakan tangan dan rim basikal.

Pelumba TSG itu kemudian dilihat bertindak balas dengan membaling basikal ke arah Zhiwen, sebelum beberapa pelumba lain yang berada berhampiran meleraikan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 1:14 AM