ROBERTO MANCINI
ROBERTO MANCINI
AFP

ROME: Pengurus Zenit St Petersburg, Roberto Mancini dalam satu temuramah penuh emosi mendedahkan peluang menjadi jurulatih skuad kebangsaan Itali sebagai amat ‘menakjubkan’ buat dirinya.

Mancini, 53, antara nama yang dicanang-canang mengendalikan juara dunia empat kali itu dengan bos Chelsea, Antonio Conte dan bekas pengurus Bayern Munich, Carlo Ancelotti turut disenaraikan.

“Apabila berada di luar negara, kamu pasti sentiasa merindui negara sendiri,” kata Mancini dalam rancangan televisyen yang diterbitkan Sky Sports.

“Apabila berada di Itali, kamu kadang-kala mengkritiknya dengan betul. Kamu pergi ke luar negara dan pasti merindui perasaan itu.

“Kamu menjadi nostalgia terhadap perkara yang berlaku sebelum ini apabila masih muda, pada era 70-an dan 80-an apabila kamu melihat pasukan kebangsaan Itali bermain dengan penuh emosi.

“Kamu tidak akan tahu apa yang berlaku dalam kehidupan, saya fikir melatih pasukan Itali satu hari nanti akan menjadi perkara paling menakjubkan dan cukup berprestij.”

Jurulatih Itali sebelum ini, Giampiero Ventura dipecat pada November lalu selepas Itali dikejutkan dengan kegagalan mara ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.

Bos baharu Itali dijangka akan dilantik pada Jun ini dengan jurulatih skuad bawah 21 tahun, Luigi Di Biagio mengambil alih tugas secara sementara ketika pertemuan persahabatan dengan Argentina dan England, bulan depan.

Mancini sebelum ini mengemudi Manchester City menjuarai Liga Perdana dalam tempoh 44 tahun pada 2012 dan pernah menjulang tiga gelaran Serie A bersama Inter Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 2:32 PM