HABIB (gambar kecil) gembira dengan pencapaian sahabatnya. -Foto fail
HABIB (gambar kecil) gembira dengan pencapaian sahabatnya. -Foto fail
Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak


MUSIM pertama tanpa Hafizh Syahrin Abdullah di paddock mungkin sedikit kekok buat mekanik, Habibtullah Mohd Fuad.

Habib yang sudah enam tahun bersama Hafizh bagaimanapun enggan mengambil pusing mengenai perkara itu dan lebih berbangga dengan rakannya itu yang kini sudah mencapai impian menyertai kelas perdana MotoGP pada musim ini.

“Sedikit kekok kerana sudah lama bersama Hafizh tetapi di sini saya masih bersama pelumba Malaysia (Zulfahmi Khairuddin) dan Adam (Norrodin),” kata Habibtullah yang kini bersama SIC Racing dalam kelas Moto2.

“Apapun, tahniah buat Hafizh kerana mencapai cita-cita yang diidamkan iaitu menyertai kelas paling tinggi, MotoGP. Saya harap dia dapat pantas belajar, terus berusaha dan jangan putus asa selain mampu membuat keputusan yang terbaik bukan saja untuk dirinya tetapi juga negara.”

Pada musim kali ini, Hafizh menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3 sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila muncul pelumba pertama di rantau Asia Tenggara beraksi dalam kelas MotoGP.

Hafizh bakal bergandingan bersama pelumba dari Perancis, Johann Zarco yang menamatkan musim lalu di tangga keenam keseluruhan dengan 174 mata.

Ditanya mengenai perwatakan dan cara digunakan Hafizh sebelum perlumbaan, Habib berkata: “Dia seorang yang periang, suka bergurau dengan semua krew pasukan.

“Itu salah satu cara untuk dirinya mengurangkan tekanan sebelum perlumbaan.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 5:13 PM