HAFIZH Syahrin.
HAFIZH Syahrin.
HM Digital

Impian untuk menyaksikan pelumba pertama negara beraksi di kelas MotoGP terjawab dengan penyertaan Hafizh Syahrin Abdullah bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 bagi musim penuh 2018.

Penyertaan Hafizh yang baru berusia 23 tahun itu sekali gus memahat namanya dalam lipatan sejarah bukan saja sebagai pelumba pertama negara beraksi dalam kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia, tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

Ikuti soal jawab bersama Hafizh yang akan membuka cabarannya di Qatar hujung minggu ini, mengenai pandangannya beraksi dalam kelas tertinggi itu yang turut disertai pelumba ternama seperti juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dan juara dunia 2012, Marc Marquez.

SOALAN (S): Ini kali pertama Hafizh akan beraksi di kelas MotoGP, adakah perasaannya sama seperti anda membuat kemunculan pertama di Moto2 sebelum ini?

JAWAPAN (J): Bagi saya, tidak banyak bezanya. Sama saja seperti musim pertama saya bersama Moto2 pada 2014. Saya tidak mahukan apa-apa tekanan. Justeru, tidak meletak sebarang sasaran yang tinggi. Walaupun baru dengan jentera ini, saya begitu sesuai menunggangnya. Ini dapat dilihat menerusi ujian rasmi di Buriram dan Qatar. Apapun, saya cuba melakukan yang terbaik dan meletakkan usaha lebih daripada 100 peratus untuk pasukan Tech3 ini yang bagi saya bukan calang-calang pasukan. Sebab itu, saya berikan apa saja untuk pasukan ini.

S: Grand Prix Qatar dikenali sebagai perlumbaan waktu malam, apa perbezaan cabarannya?

J: Cabarannya adalah cuaca kerana ketika siang, lebih kurang 40 darjah Celsius tetapi apabila malam, suhu boleh turun kepada 23 hingga 26 darjah. Oleh kerana berlumba pada waktu malam, kami mungkin berlumba dalam keadaan lembap. Sedikit berisiko untuk kelas MotoGP terutama dalam penggunaan tayar. Seperti ketika ujian rasmi baru-baru ini, saya terjatuh, jadi sebab itulah kami perlu mengawal jentera dan tidak melakukan kesilapan ketika perlumbaan. Tapi, saya yakin dengan persiapan pasukan dan sekiranya tidak ada kesilapan, mungkin saya dapat melakukan yang terbaik di Qatar nanti.

S: Hafizh masih belum berkesempatan untuk bertemu Herve Poncharal (prinsipal pasukan) lagi pada dua ujian rasmi baru-baru ini. Mungkin dia ada memberi kata-kata semangat, mungkin menerusi perbualan telefon atau sebagainya?

J: Memang saya belum berjumpa dengannya. Tetapi, kami ada berhubungan menerusi telefon. Dia kata nikmati (tunggangan), jangan berasa tertekan, langkah demi langkah dan selalu dengar kata pasukan. Jadi, saya ikut apa yang diinginkan dan setakat ini semua bagus untuk saya.

S: Perbezaan ketara antara jentera MotoGP dan Moto2, boleh kongsikan?

J: Pertama tayar kerana MotoGP menggunakan Michelin manakala Moto2, Dunlop dan saiznya juga lebih besar. Kedua, elektronik. Moto2 tidak ada elektronik, hanya menggunakan tangan untuk mengawal minyak. MotoGP ada elektronik dan cakera brek yang digunakan adalah karbon, jadi cengkamannya berbeza. Ketiga, beratnya 20 kilogram lebih berat daripada Moto2. Berikutan penggunaan elektronik ini, motor tidak terasa berat dan kuasanya juga lebih dua kali ganda daripada Moto2.

S: Hafizh akan gunakan casis 2016, bukan 2017, mungkin dapat kongsikan mengenai perbezaannya?

J: Saya menggunakan casis 2017 di Buriram dan 2016 di Qatar. Saya lebih selesa dengan 2016 kerana lebih mudah mengawal ketika di selekoh dan sewaktu mahu mengubah arah. Casis 2016 lebih ringan berbanding 2017. Ia juga banyak membantu ketika membrek. Saya puas hati dan tak jangka ketika sesi ujian terakhir di Qatar, catatan masa saya tidak jauh dengan rakan sepasukan (Johann Zarco). Sebagai muka baru, saya puas hati tetapi masih perlu banyak berusaha dari sudut fizikal dan merapatkan catatan dengan pelumba lain yang sudah lama beraksi dalam MotoGP.

S: Trek manakah yang Hafizh rasa mungkin selesa kali ini?

J: Saya tak boleh kata apa-apa lagi kerana musim belum bermula. Apapun, sudah tentu saya akan ambil kelebihan di laman sendiri nanti. Ini kerana, saya tahu keadaan trek SIC (Litar Antarabangsa Sepang). Sedikit sebanyak saya sudah mengetahui selok-belok litar itu. Di Sepang, saya seperti dapat rasakan mampu melakukan yang terbaik tahun ini. Dari catatan masa ujian, saya hanya (dibezakan) 1.2 saat daripada Zarco dan saya rasa, catatan sebenar perlumbaan nanti tidak akan banyak beza daripada ujian baru-baru ini.

S: Ayah adalah tulang belakang bagi Hafizh dalam karier ini, bagaimana anda ingin balas jasanya?

J: Untuk balas jasa, saya perlu lakukan yang terbaik. Bukan saja untuk ayah, tetapi juga kepada penaja SIC yang banyak memberi sokongan. Walaupun baru bersama SIC, tetapi mereka banyak memberi peluang kepada saya terutama dalam menyediakan kelengkapan latihan dan peluang beraksi di MotoGP. Saya akan ambil peluang ini sebagai kelebihan dan motivasi untuk melakukan yang terbaik. Itu cara saya membalas jasa ayah dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak dengan kerjaya saya.

S: Ramai pelumba yang menubuhkan akademi, adakah anda mempunyai cita-cita ke arah itu?

J: Semua pelumba inginkan perkara ini, tetapi saya perlu fikirkan karier terlebih dulu dan melakukan yang terbaik selagi termampu. Insya-Allah mungkin saya anak buat perancangan dengan ayah mengenai penubuhan akademi itu.

S: Sampai bila anda menetapkan diri untuk berada dalam MotoGP?

J:Minimum tiga musim, tetapi kalau boleh sehingga muncul juara dunia atau lebih bagus daripada pencapaian saya di Moto2.

INFO

• NAMA: Hafizh Syahrin Abdullah

• TARIKH LAHIR: 5 Mei 1994

• TEMPAT LAHIR: Selangor

• GELARAN: Pescao

• NOMBOR MOTOSIKAL: 55

• PENCAPAIAN

• 2003: Menyertai kejuaraan pocket bike

• 2007: Menyertai kejuaraan Cub Prix (naib juara keseluruhan Piala Yamaha LC135)

• 2008: Tempat ke-3 keseluruhan Piala Yamaha GIVI

• 2009: Tempat kee-3 Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC)

• 2010: Juara keseluruhan CP130

• 2011: Tempat ke-4 SuperSports ARRC

• 2012: Tempat ke-6 keseluruhan di CEV (ketiga GP Malaysia (wildcard Moto2)

• 2013: Tempat ke-15 di GP Malaysia (wildcard Moto2)

• 2014: Tempat ke-19 keseluruhan Moto2

• 2015: Tempat ke-16 keseluruhan Moto2

• 2016: Tempat ke-9 keseluruhan

• 2017: Tempat ke-2 GP San Marino, ke-3 GP Jepun ( kesepuluh keseluruhan)

• 2018: Menyertai MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech3

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 11:24 AM