Termerloh: Sejak kecil kehidupan Saiful Izman Ahmad Zamani tidak pernah sunyi dari motosikal.

Sebagai anak kepada bekas pelumba handalan negara, Ahmad Zamani Baharudin, perlumbaan motosikal sudah menjadi darah dagingnya.

Berikutan kehadiran ramai bekas pelumba dalam kancah perlumbaan, Saiful Izman turut tidak ketinggalan mencari ruang mencipta nama bagi meneruskan legasi keluarganya.

Beraksi untuk musim kedua dalam saingan kelas Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Saiful Izman sudah mula mewarisi kehandalan dimiliki adik-beradik pelumba dari keluarga Baharudin, bapanya, Ahmad Zamani, Ahmad Fuad dan Ahmad Nashrul apabila muncul juara pada saingan pembukaan musim 2015 di Temerloh, Pahang, Ahad lalu.

Musim lalu, Saiful sudah menunjukkan kemahirannya apabila tiga kali muncul naib juara. Namun musim ini dia semakin mempamerkan peningkatan dengan meraih gelaran juara seawal pusingan pertama lagi. Meskipun catatan masa ketika sesi latihan kurang menyerlah dan sentiasa ketinggalan di belakang pelumba Kozi Yam Honda Racing, Mohd Harith Farhan Baharudin, namun Saiful Izman tampil berbeza pada saingan perlumbaan akhir.

Berbekalkan gaya tunggangan penuh agresif, Saiful Izman berjaya mengatasi strategi bertahan ditunjukkan Harith Farhan bagi meraih kemenangan pertama kariernya.

Selepas beraksi dalam saingan satu pengeluar pada tahun 2013, Saiful mula melangkah ke kelas terbuka pada musim 2014 dengan FELDA PB AFB Tech Racing diuruskan pakciknya yang juga juara tiga kali kelas perdana CP130/ Expert, Ahmad Fuad.

Pada musim ini, pasukan yang menerima tajaan dan sokongan FELDA ini dibahagi kepada dua dengan pasukan

FELDA PB Racing yang dikendalikan Ahmad Zamani dan Ahmad Nashrul dalam kelas CP115 manakala FELDA AFB Tech Caldinal Racing dikendalikan Ahmad Fuad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:22 AM