ZULFAHMI KHAIRUDDIN
ZULFAHMI KHAIRUDDIN
Sukhairi Thani

‘TEKANAN harus ada.’

Itu kata pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin apabila dirinya bakal menggalas tugas besar dalam pasukan SIC Racing selepas mengisi tempat dikosongkan Hafizh Syahrin Abdullah yang akan menyertai kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia, MotoGP musim ini.

Pasukan SIC Racing yang bakal beraksi buat kali pertamanya musim ini diisi dengan barisan kru berpengalaman termasuk jurutera yang pernah menaikkan nama pelumba seperti Takaaki Nakagami dan Jonas Folger - Fausto Bencivenni.

Malah mekanik Hafizh, Habibtullah Mohd Fuad yang sudah berpengalaman luas dalam kancah Moto2 turut berada bersama pasukan.

Justeru dengan barisan kru dan jentera terbaik, pastinya Zulfahmi bakal berdepan tekanan untuk mencetuskan keputusan positif seperti mana dilakukan Hafizh sebelum ini.

“Jujurnya, tekanan agak kurang berbanding ketika saya menyertai Moto3 sebelum ini,” kata Zulfahmi yang kali terakhir berada dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2015.

“Apapun, saya akan cuba melakukan yang terbaik dan saya rasa ia sesuatu yang bagus untuk mempunyai tekanan (dalam diri).”

Zulfahmi diberi sasaran menyaingi pelumba negara Khairul Idham Pawi oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada penampilan sulungnya dalam kelas Moto2 2018 dan baginya, ia satu sasaran yang realistik.

“Bagi saya sendiri, sasaran itu adalah untuk mendapatkan posisi terbaik dan mengutip mata dengan secepat mungkin.

“Kami mempunyai sasaran tersendiri terutamanya siapakah yang perlu kami saingi. Saya yakin itu adalah sasaran realistik untuk saya dan saya akan cuba berusaha keras untuk lebih fokus selain memperbanyakkan lagi latihan selepas ini,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:11 PM