DATUK SERI NAJIB RAZAK
DATUK SERI NAJIB RAZAK
Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

 

DALAM kesibukan menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Canberra, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak sempat mencuri masa untuk memberi sokongan padu kepada pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3 bakal memulakan perlumbaan pertamanya dalam kelas perdana itu di petak ke-15 di Grand Prix (GP) Qatar, tengah malam ini.

Najib menerusi akaun Twitter miliknya hari ini, mendoakan kejayaan pelumba berusia 23 tahun itu.

“Selamat maju jaya @Hafizh_pescao55 yang akan bersaing dalam #MotoGP Qatar malam ini! Saya berada di Australia tapi akan terus beri sokongan! #NegarakuKebanggaanku,” tulis Najib di akaun Twitter itu.

Hafizh yang mesra dengan gelaran Pescao ataupun bermaksud ikan kecil dalam bahasa Sepanyol, dikenali dengan kemampuannya beraksi dalam perlumbaan litar basah.

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor yang menyertai empat musim penuh dalam aksi Moto2 sebelum ini, dijadual bermula dari barisan kelima bersama dua lagi pelumba iaitu Aleix Espargaro (ke-13) dan seorang lagi muka baharu dalam kelas MotoGP, Franco Morbidelli (ke-14).

Hafizh mencatat 1 minit 55.258 saat pada sesi kelayakan malam tadi tatkala rakan sepasukannya dari Perancis, Johann Zarco menempah petak pertama perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 5:55 PM