ANTONIO Conte percaya Chelsea boleh melakukan kejutan untuk singkirkan Barcelona dari Liga Juara-Juara di Camp Nou pada 14 Mac. - Foto EPA
ANTONIO Conte percaya Chelsea boleh melakukan kejutan untuk singkirkan Barcelona dari Liga Juara-Juara di Camp Nou pada 14 Mac. - Foto EPA

PENGURUS Chelsea, Antonio Conte percaya juara England itu boleh melakukan ‘sesuatu yang menakjubkan’ dengan menyingkirkan Barcelona dari Liga Juara-Juara di Camp Nou pada 14 Mac, walaupun melepaskan kelebihan apabila seri 1-1 pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir.

Willian memberikan persembahan baik daripada pemilihan pasukan yang pelik oleh Conte hari ini apabila meletakkan kelab itu di depan selepas sejam permainan selain dua kali cubaannya terkena tiang sebelum tamat babak pertama.

Bagaimanapun Barca bangkit daripada kesilapan sangat jarang dilakukan Chelsea ketika Andres Iniesta memintas hantaran Andreas Christensen dan melorongkan kepada Lionel Messi untuk jaringan pertamanya dalam sembilan pertemuan berdepan Chelsea.

“Kami mesti realistik. Kami bercakap mengenai Barcelona. Mereka menunjukkan malam ini mereka kuat dan pasukan yang menakjubkan,” kata Conte.

“Kami menunjukkan bahawa jika kami bersedia untuk bekerja sangat keras di bahagian pertahanan, namun terus ada perasaan yang betul apabila mendapat bola ketika ada peluang menjaringkan gol, kami boleh melakukan sesuatu yang menakjubkan di Nou Camp.”

Conte meletakkan tiga pemain di depan tanpa penyerang dikenali dengan Willian dan Pedro Rodriguez diletakkan bersama Eden Hazard manakala pemain berusia 21 tahun, Christensen memulakan permainan menggantikan kapten, Gary Cahill.

Dan Conte enggan menyalahkan pemain Denmark yang kurang pengalaman itu kerana melakukan kesilapan.

“Saya rasa ia persembahan yang hebat, persembahan menakjubkan,” kata Conte.

“Kita bercakap mengenai pemain yang baharu berusia 21 tahun. Adalah sesuatu yang hebat dia boleh bermain dengan kematangan seperti ini. Saya sangat gembira. Bagi saya dia adalah seorang daripada pemain terbaik malam ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 10:37 AM