REAKSI Conte ketika menjawab soalan wartawan ketika sidang akhbar di Stadium Camp Nou. - FOTO AFP
REAKSI Conte ketika menjawab soalan wartawan ketika sidang akhbar di Stadium Camp Nou. - FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Inter Milan, Romelu Lukaku tidak dapat menentang Barcelona dalam aksi Liga Juara Juara esok akibat kecederaan paha, menurut pengurus, Antonio Conte.

Lukaku yang dibeli dengan harga 80 juta euro (RM366 juta) daripada Manchester United penghujung musim lalu kini menjadi penjaring terbanyak kelab dalam Serie A bersama pemain tengah, Stefano Sensi dengan tiga gol.

"Romelu tidak ikut serta kerana terdapat masalah di bahagian otot pahanya,” kata Conte dalam sidang akhbar di Camp Nou, awal pagi tadi.

"Dia sudah mengalaminya sejak 10 hari lalu tetapi pemeriksaan lanjut mendapati kecederaan itu tidak serius.

"Jadi kami tak risau tapi kami tetap enggan tanggung risiko jika menurunkannya.”

Inter kini pendahulu Serie A selepas menang enam perlawanan berturut-turut dan akan menentang Juventus dalam pertembungan dua kelab teratas pada Ahad ini tetapi Conte belum lagi memikirkannya.

Jurulatih Barcelona pula, Ernesto Valverde menyenaraikan Lionel Messi dan Ousmane Dembele selepas kedua-duanya kembali cergas ketika sesi latihan semalam.

Messi mengalami kecederaan otot dan terpaksa dikeluarkan ketika Barca menewaskan Villarreal 2-1 minggu lalu manakala Dembele menjalani rawatan akibat kecederaan paha.

Bagaimanapun, Barcelona beraksi tanpa pertahanan, Jordi Alba, Samuel Umtiti dan pemain sayap berusia16 tahun, Ansu Fati.

Semua pasukan dalam Kumpulan F memiliki satu mata dengan Barca seri 0-0 di Borussia Dortmund dalam aksi pembukaan manakala Inter seri 1-1 di Slavia Prague.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 12:07 PM