(DARI kiri) pengurus pasukan Petronas Sprinta Racing, Johan Stigefelt, pelumba Moto2, Khairul Idham Pawi, pelumba MotoGP Fabio Quartararo, Franco Morbidelli dan pelumba Moto3, Ayumu Sasaki dan John McPhee ketika majlis umum pasukan dan pengenalan pelumba.
(DARI kiri) pengurus pasukan Petronas Sprinta Racing, Johan Stigefelt, pelumba Moto2, Khairul Idham Pawi, pelumba MotoGP Fabio Quartararo, Franco Morbidelli dan pelumba Moto3, Ayumu Sasaki dan John McPhee ketika majlis umum pasukan dan pengenalan pelumba.
Daripada Sukhairi Thani di Silverstone dan London

 

SILVERSTONE: Syarikat petroleum negara, PETRONAS sah menjadi penaja utama bagi pasukan sulung Malaysia dalam kelas MotoGP dengan slot pelumba diisi Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo.

PETRONAS akan bergandingan bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan penyertaan pasukan bermula dari tahun depan sehingga 2021, menggunakan jentera Yamaha, YZR-M1.

Pelumba Morbidelli menjadi pesaing hebat dengan Hafizh Syahrin Abdullah bagi memburu gelaran muka baharu terbaik bagi musim ini manakala Quartararo bakal diangkat ke kelas perdana musim depan selepas beraksi di kelas pertengahan, Moto2.

Menerusi persefahaman itu, PETRONAS mampu memanfaatkan pentas Kejuaraan Motosikal Dunia ini bagi memajukan lagi teknologi pelincir motosikal seperti mana yang dilakukan dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

Pembabitan PETRONAS ini juga secara tidak langsung mengembangkan lagi penajaan mereka untuk pasukan negara selepas menjadi penaja bagi kelas Moto2 dan Moto3 - kelas bagi mencungkil bakat baharu.

"Saya gembira untuk menyaksikan sejarah baharu ini yang pastinya memberi masa depan yang lebih cerah untuk sukan permotoran Malaysia," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

"Sudah terbukti yang sukan mempunyai kuasa untuk menyatukan negara dan saya percaya menerusi inisiatif dari PETRONAS dan SIC, kita bukan saja dapat menjadi kejayaan di trek tetapi juga untuk menyatukan penyokong tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

"Kita mempunyai pelumba negara dalam MotoGP musim ini dan dengan pasukan Malaysia di grid musim depan, pastinya ramai yang akan memberi sokongan."

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu di Grand Prix British ialah Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya; Presiden dan Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; CEO SIC, Datuk Razlan Razali; CEO Dorna, Carmelio Ezpeleta; Pengurus Besar Divisyen Sukan Permotoran Yamaha Motor, Kouichi Tsuji dan Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing Srl, Lin Jarvis.

Sementara itu bagi kelas Moto2, pasukan juga mengumumkan barisan pelumba untuk Moto2 dan Moto3 dengan menyaksikan Khairul Idham Pawi menggantikan pelumba Finland ketika ini, Niki Tuuli.

Sementara itu dalam kelas Moto3, pelumba Jepun, Ayumu Sasaki kekal bersama pasukan manakala John McPhee menggantikan Adam Norrodin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:40 AM