SHAHROL YUZY AHMAD ZAINI
SHAHROL YUZY AHMAD ZAINI
Sukhairi Thani


SELEPAS 16 tahun bersara, legenda dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mengakui beliau kini boleh tersenyum puas selepas Hafizh Syahrin Abdullah berjaya meletakkan nama beraksi dalam kelas perdana Kejuaraan MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 musim ini.

Bagi bekas pelumba yang bersara daripada arena kompetitif pada 2002 itu, beliau berterima kasih kepada program akar umbi seperti Cub Prix yang menjadi pentas penting untuk mencungkil bakat terpendam seperti Hafizh.

Shahrol Yuzy yang menjadi pelumba pertama negara di pentas dunia berkata: “Saya memang mengharapkan dia dapat slot di MotoGP dan pada masa sama, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga kerana mempunyai wakil dalam setiap kategori, MotoGP, Moto2 dan Moto3.

“Ini menunjukkan kita mempunyai pelumba yang mampu mempamerkan potensi baik di peringkat Asia terutamanya Asia Tenggara. Kita kini sudah semakin menyamai negara Eropah seperti Sepanyol dan Itali di mana dalam setiap kelas mempunyai wakil mereka sendiri.

“Sebagai bekas pelumba, sudah tentu saya berbangga dan ini salah satu daripada apa yang mahu saya lihat selepas bersara daripada GP. Bagi saya, kemunculan bakat yang ada sekarang ini sebenarnya lahir daripada Cub Prix di mana menyediakan kelas Wira yang penyertaannya di bawah 13 tahun.

“Ini yang menjadikan kita mampu melahirkan pelumba seperti sekarang. Kalau dibandingkan zaman saya dulu, kita sukar melahirkan pelumba kerana bermula daripada umur yang lewat dan ini menyukarkan untuk melahirkan pelumba MotoGP seperti Hafizh yang mempunyai pengalaman empat tahun di Moto2 atau seperti Khairul Idham Pawi.

“Jadi, platform yang kita ada ketika ini memang baiklah.”

Bakat Hafizh mula berkembang pada 2007 ketika membuat kemunculan pertama di Cub Prix sebelum menyertai saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dari 2010 hingga 2012.

Terus mengembangkan sayapnya, Hafizh menyertai kelas Moto2 di MotoGP pada 2011 dan 2012 atas tiket ‘wild card’ di bawah PETRONAS dan menamatkan saingan Grand Prix Malaysia di tangga keempat sebelum diangkat ke tangga ketiga selepas kemenangan Anthony West dibatalkan.

Hafizh kemudiannya menyertai Moto2 secara sepenuh masa pada 2014 sehingga tahun lalu dan menamatkan saingan musim di kelompok 10 terbaik keseluruhan termasuk dua kali menaiki podium di San Marino serta Jepun.

Kini, Hafizh disunting pasukan Monster Yamaha Tech3 dan penampilan sulungnya bakal dilihat pada ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand bermula 16 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 7:59 PM