AIN (kiri) baru berusia 19 tauhn.
AIN (kiri) baru berusia 19 tauhn.
Naqib Nor Said

PENJAGA gol pasukan hoki wanita kebangsaan, Ain Nur Nasiha Yahaya mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa selepas dianggap masih ‘mentah’ untuk mewakili negara.

Ia diakui jurulatih penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin menjelang empat aksi pemanas badan bertemu skuad bawah-21 tahun (B-21) Jepun di Stadium Hoki Bukit Jalil bermula Ahad ini hingga Khamis depan.

Jelas Roslan, dengan berbaki kurang 30 hari saja lagi sebelum Sukan Komanwel di Gold Coast membuka tirainya adalah sukar untuk menjadikan pertemuan itu sebagai medan menguji penjaga nombor tiga itu yang baru diserap ke kem latihan sejak Januari lalu.

“Secara jujurnya kami tidak mahu meletakkan begitu banyak tekanan ke atasnya kerana Ain baru saja berusia 19 tahun, pemilihannya ke dalam skuad lebih kepada persediaan mencari penjaga gol masa depan negara.

“Memang dia mempunyai saiz fizikal yang sesuai sebagai penjaga gol tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki dan bagi saya dia belum bersedia untuk pertandingan antarabangsa.

“Jadi, untuk pertemuan dengan skuad B-21 Jepun, kemungkinan besar sukar untuk dia diturunkan, mungkin kita perlu beri sedikit lagi masa kepadanya,” kata Roslan.

Pendapat Roslan itu ada benarnya kerana kebetulan pemilihan Ain dibuat hanya bersandarkan kepada beberapa minit beraksi bersama Perak di Piala Razak Disember lalu dan selebihnya banyak memanaskan bangku simpanan di belakang Mas Huzaimah Aziz.

Malah, difahamkan keputusan memanggilnya menyertai kem latihan negara itu lebih menjurus kepada usaha jurulatih Dhaarma Raj Abdullah mencari pengganti jangka panjang kepada penjaga nombor satu negara Farah Ayuni Yahya.

“Fokus kita ketika ini untuk menghadapi Sukan Komanwel, jadi agak mustahil untuk kita turunkan Ain kerana empat aksi pemanas badan ini mungkin menjadi peluang terbaik untuk Farah Ayuni dan Mas Huzaimah (penjaga gol nombor dua) mendapat aksi kompetitif,” kata Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 9:11 PM