ZULFAHMI KHAIRUDDIN
ZULFAHMI KHAIRUDDIN
Sukhairi Thani


PELUMBA SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mahu memperbaiki catatan masa sepusingan yang dilakukannya pada hari kedua ujian rasmi Moto2 di Circuito de Jerez, hari ini.

Pada hari pertama yang berlangsung sebanyak dua sesi semalam, pelumba berusia 26 tahun itu berjaya memperbaiki catatan 1 minit 46.888 saat (sesi pertama) ke 1:45.718s (sesi kedua).

“Apa yang boleh saya katakan, apabila menunggang bersama pelumba lain, ia agak berbeza,” katanya.

“Mereka sudah menjalani ujian di sini dua minggu lalu di mana ketika itu pasukan kami melakukan ujian di Sepang (ujian persendirian).

“Jentera agak baik tetapi banyak catatan di selekoh yang perlu saya perbaiki. Pada sesi kedua saya agak perlahan dan saya harap esok (hari ini), saya dapat keluar untuk melakukan ujian lagi dengan motosikal.

“Ada peningkatan daripada catatan masa sepusingan yang mana ia sangat bagus. Pasukan berpuashati dengan perkembangan ini dan harap saya dapat memperbaiki lagi catatan masa sepusingan nanti.”

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang mewakili pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi turut memperbaiki catatan masa pada sesi kedua ujian yang di ungguli Francesco Bagnaia dari pasukan SKY Racing Team VR46.

Bagnaia mencatat masa sepusingan terpantas, 1:42.433s di sesi ujian kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 11:03 AM