MOHAMAD Ghaddar (kiri) diasak pemain pertahanan Terengganu City FC. - FOTO FATHIL ASRI
MOHAMAD Ghaddar (kiri) diasak pemain pertahanan Terengganu City FC. - FOTO FATHIL ASRI
Attirmidzie Rahman

 

PENGENDALI sementara Kelantan, Yusri Che Lah mengakui pasukannya belum mencapai tahap maksimum sepanjang aksi perlawanan Liga Super dan Piala FA musim ini.

Walaupun pasukan itu sudah mencatat dua kemenangan di bawah kendaliannya, jurulatih kelahiran Perlis itu tidak mahu pemainnya terus dibuai dengan kejayaan sebaliknya menuntut mereka untuk terus berusaha dalam setiap perlawanan akan datang.

"Saya bersyukur dengan izin Allah kita mendapat dua kemenangan dalam masa begitu singkat dan pujian harus diberikan kepada semua barisan pemain kerana ini hasil kerja keras selama ini,” katanya selepas kemenangan 2-0 ke atas Terengganu City FC (TCFC) malam tadi.

"Namun, saya masih melihat kemenangan ini bukanlah suatu yang boleh kita terus raikan kerana pasukan masih lagi dalam peringkat perubahan.

"Jika dilihat pada persembahan pasukan, masih terdapat beberapa perkara yang perlu kita betulkan akan tetapi ia semakin menunjukkan tanda positif dan saya percaya dalam tempoh satu atau dua bulan lagi kita dapat betul-betul keluarkan permainan yang memberangsangkan.”

Dua jaringan dihasilkan Cassio Fransisco dan Shafiq Shaharudin melayakkan Kelantan ke pusingan ketiga Piala FA.

"Memang banyak peluang yang dicipta malam ini (malam tadi) tapi mungkin gandingan Mohammad Ghaddar, Bruno Lopes dan Ferdinand Sinaga belum membuahkan hasil.

"Selain itu, kehadiran Badhri Radzi (Piya) dalam kesebelasan utama pada dua perlawanan ini sebenarnya menambah keyakinan pada pasukan dan saya harap Piya akan dapat terus mengekalkan momentum itu dalam perlawanan akan datang," katanya.

Sementara itu, pengendali TCFC, Md Noor Md Derus berkata dia tetap berpuas hati dengan usaha barisan pemainnya walaupun berakhir dengan kekalahan.

"Bagi saya apabila kita melakukan terbaik untuk pasukan, saya sudah berpuas hati...lawan kita adalah sebuah pasukan Liga Super yang ramai pemain pengalaman. Jadi saya tidak terlalu kecewa dengan keputusan terbabit.

"Apa yang penting pendedahan kepada setiap pemain dan saya beritahu mereka (pemain) bahawa apa yang dilakukan sudah terbaik kerana kita mencuba untuk atasi Kelantan daripada terus menjaringkan gol," katanya yang mengharapkan pendedahan terbabit dapat digunakan sepanjang pasukan itu mengharungi saingan Liga FAM musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 1:09 PM