Oleh Norizuan Shamsuddin


Kota Bharu: Kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi optimis memburu kejuaraan musim ini bagi menebus kegagalan musim lalu.

Anak jati Kelantan berusia 32 tahun ini sudah tidak sabar mengharungi Liga M yang bakal membuka tirai awal Februari ini.

Badhri yang lebih dikenali dengan gelaran Piya adalah penggerak utama jentera serangan The Red Warriors (TRW).

“Gandingan pemain baru musim ini sudah semakin serasi menerusi latihan dan perlawanan persahabatan yang diadakan.

“Mungkin sedikit lagi penekanan perlu diberikan sebelum saingan liga bermula dan kita masih mempunyai masa memperkemaskan lagi corak permainan.

“Saya harap semua pemain fokus dan kita perlu bekerja keras bagi memastikan misi tahun ini berjaya,” katanya.

Badhri mengakui barisan pemain tempatan dan import yang mantap ramuan utama untuk menjadi juara.

Jelasnya, sokongan peminat menjadi kunci pasukan meraih kemenangan dan dia berharap penyokong kembali memenuhi stadium pada setiap perlawanan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 7:52 AM