SHAFIQ (kanan) menghalang percubaan Bauman (kiri) di Stadium Manjung, malam ini. — FOTO Effendy Rashid
SHAFIQ (kanan) menghalang percubaan Bauman (kiri) di Stadium Manjung, malam ini. — FOTO Effendy Rashid
Noor Hidayah Tanzizi


PKNP FC gagal dalam misi mencari kemenangan di laman sendiri apabila tewas 1-2 di tangan Kedah pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

Pada awal permainan, kedua-dua pasukan tampil garang melakukan serangan dengan beberapa percubaan berbahaya.

Tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi rembatan padu Yashir Pinto selepas menerima hantaran Mukhairi Ajmal yang menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Aidil Sharin Sahak memperkemaskan permainan, namun beberapa cubaan pemainnya gagal menemui penyudah apabila berjaya dinafikan penjaga gol PKNP, Shafiq Afifi Suhaimi.

Kegembiraan anak buah Abu Bakar Fadzim bagaimanapun tidak bertahan lama apabila skuad Lang Merah menyamakan kedudukan menerusi rembatan Fernando Rodriguez hasil hantaran Jonatan Bauman pada minit ke-48.

Peluang diperoleh PKNP menerusi sepakan percuma Giancarlo Lopes pada minit ke-51 gagal apabila tersasar ke kiri gawang lawan.

Pelawat terus menambah derita tuan rumah menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar yang ditanduk David Rowley berjaya menerjah gawang PKNP pada minit ke-73.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 11:19 PM