Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Ismail menepati ramalan apabila kekal sebagai Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk penggal 2018/2021 sempena pemilihan kepimpinan baharu badan induk itu pada mesyuarat agung tahunan (AGM), hari ini.

Ahmad yang juga penyandang jawatan itu sejak 2003 menewaskan Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran apabila meraih 51 undi berbanding Markiman yang mendapat 16 undi.

Datuk Akramuddin Abdul Aziz pula mempertahankan jawatan selaku orang nombor dua selepas memperoleh 51 undi, menewaskan pencabarnya yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis, Syed Al Raniri Syed Ahmad Al Edroos (14 undi).

Tiga jawatan naib presiden pula dimenangi Presiden Persatuan Sepaktakraw Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman yang memperoleh 62 undi; diikuti Presiden Persatuan Sepaktakraw Sabah, Datuk Awang Sham Amit (53 undi) dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan, Datuk Sumali Reduan (51 undi).

Mereka menewaskan dua calon lain iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Abdul Razak Rahman yang memperoleh 12 undi dan Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Kedah, Syed Husain Syed Abu Bakar (11 undi).

Ahmad dalam sidang media selepas itu bersyukur kerana berjaya mempertahankan jawatannya dan berharap semua ahli gabungannya supaya kembali bersatu dan bekerjasama dengan penuh keikhlasan untuk menaikkan kembali maruah sukan tradisi itu.

Malah Ahmad yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang itu berharap semua ahli gabungannya supaya menggunakan saluran betul jika ingin mengemukakan sebarang cadangan untuk menambahbaik tadbir urus PSM dan pembangunan sepak takraw. 

"Saya juga bercadang menubuhkan satu jawatan kuasa khas bagi mengkaji beberapa pindaan terhadap perlembagaan ke arah menambahbaik sistem pemilihan jawatan tinggi dalam PSM supaya lebih relevan, pada masa depan.

"Kita juga akan mengkaji sistem pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) supaya lebih telus kerana sebelum ini pelantikan mereka dibuat oleh persatuan negeri," katanya yang akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membolehkan pindaan perlembagaan dilakukan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 7:38 PM
Datuk Ahmad Ismail. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Datuk Ahmad Ismail. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR