ABDAH gesa Pahang agar buar pusingan U untuk sahut cabaran sertai Piala AFC.
ABDAH gesa Pahang agar buar pusingan U untuk sahut cabaran sertai Piala AFC.
Rodly Fadly


BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Abdah Alif menggesa Pahang agar membuat pusingan U dengan menyahut cabaran beraksi pada Piala AFC musim depan.

Ini kerana beliau berpendapat keputusan skuad Tok Gajah menolak tawaran beraksi pada pertandingan berkenaan bukan sahaja akan merugikan pasukan malah bola sepak negara.

Abdah antara arkitek yang menjulang skuad Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 berkata, alasan Pahang untuk memberi tumpuan kepada pertandingan domestik sepatutnya tidak ada dalam kamus bola sepak setiap pasukan di negara ini.

Malah, beliau menganggap aspek kewangan turut dijadikan alasan menolak tawaran berkenaan bakal memalukan bola sepak Malaysia di mata dunia.

“Keputusan Pahang itu ibarat kita mendapat tawaran menyambung pelajaran ke luar negara tapi menolak dengan alasan hendak belajar dalam negara sahaja.

“Ini peluang untuk menguji sejauh mana kemampuan mereka di peringkat tertinggi. Janganlah kita sekadar berpuas hati dengan hanya bergelar juara liga atau Piala Malaysia.

“Piala AFC ini juga boleh dijadikan medan untuk mendedahkan pemain pada pertandingan bertaraf tinggi, secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan prestasi mereka bila beraksi untuk skuad kebangsaan.

“Ia sesuatu yang amat merugikan bola sepak kita jika ada pasukan masih bersikap seperti ‘katak di bawah tempurung’. Sepatutnya pemikiran sebegini sudah lama kita buang.

“Sebaliknya kita perlu mempunyai mentaliti untuk mencapai kejayaan setinggi mungkin. Barulah bola sepak boleh maju dan prestasi skuad negara dapat meningkat,” katanya.

Abdah turut tidak bersetuju dengan alasan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Johari Hussain yang menyatakan aspek kewangan sebagai antara sebab Pahang menolak tawaran itu.

“Adakah aspek kewangan yang dimaksudkan bermakna kita menghadapi kekangan kewangan untuk menghantar pasukan bertanding di peringkat Asia?

“Jika jawapannya ‘ya’, ia sesuatu yang memalukan kita di seluruh dunia kerana sebuah pasukan berstatus profesional tidak ada wang untuk menghantar pasukan walaupun sekadar untuk bertanding di peringkat Asia.

“Saya harap Pahang fikir balik serta buat ‘U-turn’ dengan menyambut tawaran ini kerana masih ada masa untuk berbuat begitu,” ujar Abdah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 2:39 PM