WELSON SIM
WELSON SIM
Aida Adilah Mat


SUKA atau tidak, perenang negara perlu mengaku mereka tidak berpeluang untuk menyumbangkan pingat di temasya Sukan Komanwel Gold Coast, April nanti.

    Malah, perenang handalan negara, Welson Sim juga sukar untuk memenangi pingat di temasya itu.

    Bukan tidak boleh bermimpi tapi itulah hakikat yang perlu diterima kerana mereka harus menjadi ‘super pantas’ jika ingin mara ke final dan meraih pingat.

    Perkara itu diakui jurulatih negara, Paul Birmingham yang melihat faktor itu berdasarkan kedudukan semasa perenang.

    “Ya mereka memang tidak berpeluang untuk meraih pingat. Di Komanwel mereka perlu berdepan dengan juara dan pemegang dunia, juara Olimpik dan beberapa nama hebat yang lain.

    “Jadi kita perlu realistik. Biarpun Welson bagus, dia tetap tidak mempunyai peluang. Namun, apa yang menggembirakan ialah Welson kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan,” katanya yang memaklumkan anak buahnya itu akan beraksi dalam acara 200 dan 400m.

    Australia pasti membariskan perenang handalan mereka yang juga juara dunia, Mack Horton dan Kyle Chalmers selain Adam Peaty dari Britain dan beberapa nama besar lain.

    Selain itu, Paul turut memaklumkan skuad renang hanya akan membariskan lima atlet terdiri daripada Welson, Chan Jie, Tern Jian Han, Keith Lim dan seorang atlet wanita tunggal, Caroline Chan.

    Kata Paul, syarat penganjur yang hanya membenarkan lima atlet disenaraikan ke temasya itu menyukarkan beliau untuk menghantar lebih ramai perenang.

    Namun, pemilihan perenang dibuat berdasarkan aksi konsisten serta peluang ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 8:40 PM