DIARRA beraksi sebanyak 34 kali bersama Perancis, menyertai PSG minggu lalu dengan kontrak hingga Jun 2019. Foto Agensi
DIARRA beraksi sebanyak 34 kali bersama Perancis, menyertai PSG minggu lalu dengan kontrak hingga Jun 2019. Foto Agensi
AFP

PARIS: Lassana Diarra mungkin membuat penampilan sulung buat Paris Saint-Germain pada separuh akhir Piala Liga Perancis menentang Rennes di gelanggang lawan awal pagi esok selepas disenaraikan dalam skuad itu kali pertama.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu, yang beraksi sebanyak 34 kali bersama Perancis, menyertai PSG minggu lalu dengan kontrak hingga Jun 2019. Dia adalah ejen bebas selepas meninggalkan Al Jazira di Emiriah Arab Bersatu pada hujung Disember lalu.

Bagaimanapun, ada keraguan mengenai tahap kecergasan bekas pemain Chelsea, Arsenal dan Real Madrid itu dan dia tidak mungkin turun dalam kesebelasan utama perlawanan di Brittany itu.

Diarra diikat untuk menjadi pelapis kepada Thiago Motta, yang masih bergelut dengan masalah betis dan tidak boleh diturunkan.

Kylian Mbappe turut kembali buat PSG sesudah terlepas dua aksi terakhir pasukan itu kerana kecederaan dialami ketika tewas 1-2 kepada Lyon pada 21 Januari lalu.

PSG mengintai peluang menjuarai Piala Liga buat tahun kelima berturut-turut. Satu lagi separuh akhir mempertemukan AS Monaco menentang Montpellier awal pagi Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 8:49 AM