NEYMAR (kanan) jaring gol tunggal perlawanan PSG menentang Toulouse. -Foto EPA
NEYMAR (kanan) jaring gol tunggal perlawanan PSG menentang Toulouse. -Foto EPA
AFP

PARIS: Neymar menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi membantu Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Toulouse 1-0 dalam saingan Ligue 1, semalam.

  Ia adalah kemenangan penting buat PSG yang turut menyifatkan ia sebagai perlawanan pemanas badan sebelum bertemu Real Madrid untuk aksi kalah mati Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini, waktu Malaysia.

 Pendahulu liga itu kini mempunyai kelebihan 12 mata di tangga teratas dengan Neymar menjaringkan gol ke-19 musim ini manakala Monaco melonjak ke tangga kedua selepas menewaskan Angers 4-0.

  Skuad bimbingan Unai Emery kini mengalihkan fokus terhadap pertemuan dengan Real di Santiago Bernabue.

  Emery mengesahkan selepas perlawanan pemain tengah bertahan, Thiago Motta tidak sempat pulih bagi diturunkan menentang juara Eropah itu.

  “Saya fikir kami sudah bersedia untuk menentang Real. Kami mempunyai peluang 50 peratus, sama seperti Real,” kata Marco Verratti yang direhatkan ketika menentang Toulouse.

  “Saya tidak tahu siapa jurulatih akan pilih untuk bermain di posisi tengah bertahan. Lass Diarra mempunyai pengalaman yang luas. Dia bermain menentang kelab besar dalam kerjayanya manakala Giovanni turut mempamerkan peningkatan.”

 Neymar kembali dalam kesebelasan utama PSG selepas diketepikan ketika saingan Piala Perancis menentang Sochaux tetapi pendahulu penjaring terbanyak liga, Edinson Cavani terlepas kunjungan ke Tolouse susulan masalah kecederaan pinggul.

 Lassana Diarra kali pertama disenaraikan dalam kesebelasan utama manakala Emery turut merehatkan kapten, Thiago Silva menjelang kunjungan ke Santiago Bernabue.

 Sementara itu, Monaco tidak terjejas biarpun kehilangan khidmat kapten, Radamel Falcao apabila menewaskan Angers 4-0 sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara.

 Empat gol Monaco dijaringkan oleh Ludovic Butelle (minit ke-10 - gol sendiri),  Stevan Jovetic (minit ke-30, 65)  danAndrea Raggi (minit ke-71).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 9:56 AM