STATUS Haikal masih lagi jadi tanda tanya. -Foto TRW FC
STATUS Haikal masih lagi jadi tanda tanya. -Foto TRW FC
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) belum membuat keputusan kedudukan sebenar pemain sayap berbakat, Haikal Nazri dalam skuad The Red Warriors (TRW) musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya mengambil kira desakan penyokong untuk tidak meminjamkan pemain berusia 25 tahun ke pasukan lain musim ini dan perkara itu sedang diteliti semula.

Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk mengekalkan bekas pemain FELCRA FC itu mungkin sedikit sukar memandangkan pasukan sudah melengkapkan barisan pemain.

“Haikal memang mempunyai bakat yang boleh diketengahkan. Dia masih muda. Jadi kita sedang lihat semula kedudukannya.

“Selain Haikal, Rozaimi Azwar pun pemain berbakat. Ketua jurulatih, Sathit Bensoh sudah mengetahui kemampuan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, anak jati Kuala Lumpur itu yang baru menyarung jersi TRW musim ini dilaporkan bakal dipinjamkan bersama lima pemain lain ke pasukan lain bagi mengurangkan kos perbelanjaan KAFA.

Namun selepas pemain sayap itu mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa perlawanan pramusim, penyokong TRW tampil menggesa agar pemain itu tidak dilepaskan dan mahu dia terus beraksi bersama Kelantan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 1:12 PM